KUALA LUMPUR, 22 Mei- Ketua jurulatih kebangsaan, Ahmad Jais Baharun menuntut komitmen penuh semua pemain untuk menumbangkan Thailand dalam perlawanan akhir acara regu dan double divisyen premier Piala Dunia Sepak Takraw 2024, malam ini.
Menurutnya, kelebihan beraksi di laman sendiri harus dijadikan motivasi terbaik untuk skuad negara mencipta kejayaan di Stadium Titiwangsa.
"Kita sedar bahawa cabaran berdepan pasukan Thailand adalah satu halangan yang agak besar tapi kita tidak akan mengalah dan akan mempamerkan semangat juang yang tinggi dan mutu permainan yang terbaik," kata Ahmad Jais kepada pemberita.
Pada saingan regu semalam, trio utama negara yang diwakili Syahir Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan), ternyata sukar untuk digugat apabila mudah mengatasi Myanmar 15-3 dan 15-11 di separuh akhir.
Mereka dijadualkan turun berdepan Thailand pukul 9.30 malam ini.
Sementara itu, skuad double negara yang menumbangkan Myanmmar 15-10, 17-16 semalam, turut akan berdepan Thailand dalam merebut gelaran juara.