fb fb fb fb fb

Peng Soon-Yee See 'gantung raket'

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 22 Mei - Jaguh beregu campuran negara, Chan Peng Soon yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 mengucapkan selamat tinggal kepada dunia badminton secara rasminya, hari ini.

Peng Soon yang mengakhiri kerjaya perjuangannya selepas 18 tahun berkecimpung dalam sukan badminton mengakhiri perlawanan terakhir bersama Cheah Yee See yang turut mengumumkan persaraan pada pusingan pertama Masters Malaysia.

Pada perlawanannya di Axiata Arena, pasangan tersebut bagaimanapun tewas kepada kepada pasangan China, Chen Xing-Li Qian 10-21, 6-21.

Mengulas mengenai perjalannnya dengan pelbagai momen suka dan duka, Peng Soon yang berusia 36 tahun menyatakan dirinya tidak pernah kesal memilih untuk menyarung jersi negara.

“Dari (peringkat) negeri (Pulau Pinang) masuk BAM, enam bulan tiada gaji, namun saya tidak (menyesal sertai dunia badminton) kerana dapat lihat banyak budaya di luar negara … kepada pemain muda, jika mahu menjadi pemain kebangsaan dengan taraf dunia, perlu berusaha keras tiada jalan singkat," katanya.

Sukan Olimpik Rio 2016 merupakan kemuncak pemain kelahiran Pulau Pinang itu bersama Goh Liu Ying.

Bagaimanapun, Liu Ying telah 'menggantung raketnya' lebih awal daripadanya sejurus tamat Terbuka Malaysia tahun lalu.

Dalam perkembangan yang sama, Peng Soon turut  menyatakan keinginannya untuk terus menyumbang kepada perkembangan sukan badminton negara.

Sementara itu, Yee See yang turut mengumumkan persaraan hari ini meluahkan rasa bersyukur atas sokongan peminat selama ini.

Katanya, antara detik bermakna sepanjang kerjayanya adalah waktu dia dan gandingannya Hoo Pang Ron menyumbang mata kemenangan skuad negara ketika menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi suku akhir Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

TETITIA YUSOFF