KUALA LUMPUR, 22 Mei- Perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menepati ramalan untuk melepasi halangan pertama dalam Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Masters 2024.
Juara Terbuka Thailand itu menewaskan lawan dari China, Zhao Jun Peng, 19-21, 21-11, 21-14 untuk mara ke pusingan seterusnya.
Turun selaku pilihan kelima, Zii Jia yang dikejutkan dengan kekalahan 19-21 di set pertama, menampilkan kebangkitan pada set kedua dengan mencatat kemenangan 21-11 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Ditambah dengan tonik sokongan padu penyokong, Zii Jia menundukkan Jun Peng 21- 14, di set ketiga dan melengkapkan kemenangan dalam tempoh sejam satu minit.
Zii Jia kini dilihat dalam momentum terbaik, memburu gelaran kedua musim ini selepas menjuarai saingan Terbuka Thailand di Bangkok, Ahad lalu.
Menanti di pusingan seterusnya, Kiran George dari India bagi perebutan tiket ke suku akhir.
Atlet tinggi lampai itu menyatakan bahawa kejayaan di Thailand tempoh hari membantu meningkatkan motivasinya selain berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan.
Pada edisi lalu, Zii Jia mengakhiri saingan Malaysia Masters seawal pusingan pertama apabila tewas di tangan pemain China, Lu Guang Zu, 21-12, 21-19.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei turut mara ke saingan seterusnya selepas mengatasi Polina Buhrova dari Ukraine 21-16, 18-21, 21-14.
Jin Wei akan membuat perhitungan dengan pemain Thailand, Busanan Ongbamrungphan, esok.