LONDON, 14 September - Penyandang juara, New Zealand, menempah slot separuh akhir Piala Dunia Ragbi Wanita selepas menewaskan Afrika Selatan 46-17 di suku akhir di Sandy Park, semalam.
Afrika Selatan bermula cemerlang dengan penguasaan 81 peratus bola pada babak pertama dan mengikat kedudukan 10-10 sebelum rehat. Namun, Black Ferns bangkit garang di separuh masa kedua dengan lapan try keseluruhan, termasuk dua masing-masing daripada Braxton Sorensen-McGee, Renee Holmes dan Kaipo Olsen-Baker.
Afrika Selatan yang pertama kali mara ke suku akhir tetap menunjukkan kemajuan positif dengan try daripada Babalwa Latsha, Aphiwe Ngwevu dan Lerato Makua.
Sementara itu, Kanada turut melangkah ke separuh akhir selepas menundukkan Australia 46-5 di Ashton Gate. Pasukan itu mendominasi separuh masa pertama dengan lima try, sebelum menambah dua lagi selepas rehat untuk melengkapkan kemenangan bergaya.
New Zealand akan berdepan Kanada dalam aksi separuh akhir.-REUTERS
