fb fb fb fb fb

Piala Dunia Qatar : Portugal menang tipis ke atas pasukan ranking terendah, Ghana

(Penyerang Portugal Cristiano Ronaldo bertembung dengan penjaga gol Ghana Lawrence Ati Zigi /AFP)

DOHA, 25 November- Ghana, hadir ke Piala Dunia 2022 di tangga ke-61 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), merupakan pasukan dengan ranking paling rendah bertanding di Qatar dan ia disebabkan perjalanan berliku mereka sebelum ke negara Teluk itu.

Atas kertas, Portugal diletakkan selaku pilihan dengan barisan pemain bintang dan ranking lebih baik.

Namun, pada aksi yang berlangsung di Stadium 974, The Black Stars dilihat menguasai perlawanan sejak awal sehinggalah pengadil Ismail Elfath memberikan penalti kepada Portugal, dan Ronaldo mudah menyempurnakan jaringan meletakkan A Seleção di depan minit ke-65.

Andre Ayew menyamakan kedudukan tidak lama selepas itu sebelum Joao Felix kembali meletakkan Portugal di depan berselang lima minit.

Rafael Leao kemudiannya menjadikan keputusan 3-1 pada minit ke-80 sebelum Ghana mencuri satu peluang beberapa minit sebelum aksi tamat menerusi jaringan oleh Qsman Bukhari.

Aksi tersebut turut menyaksikan kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mencatat sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia.

Ronaldo memintas Pele dan pemain Jerman Uwe Seeler dan Miroslav Klose, yang kesemuanya menjaringkan gol dalam empat Piala Dunia.


(Penyerang Portugal Cristiano Ronaldo memberikan tanda 'bagus' ketika meninggalkan padang / AFP)


Sementara itu, AFP melaporkan Pengendali Ghana Otto Addo jelas kecewa dengan keputusan itu lantas menyalahkan penalti yang diberi pengadil kepada Portugal, sebagai punca kekalahan pasukannya.

"Kami sangat kecewa, apalagi apabila saya melihat situasi penalti. Sehingga tahap itu kami benar-benar mempunyai perlawanan yang baik," kata Addo.

"Saya fikir ia adalah keputusan yang salah, kami bermain bola... Saya tidak tahu mengapa VAR tidak muncul, tiada penjelasan.

"Jika seseorang menjaringkan gol maka tahniah, tetapi ia benar-benar hadiah... 'hadiah istimewa' daripada pengadil."

Ditanya sama ada penalti akan diberikan kepada pemain lain selain Ronaldo, Addo berkata: "Anda perlu bertanya kepada pengadil".

"Saya tidak mempunyai bukti bahawa keputusan berbeza akan dibuat untuk orang lain... Saya tidak tahu sama ada mereka tidak memberi perhatian atau VAR tidak memberi perhatian," tambahnya.

"Saya fikir ia luar biasa, ia sebenarnya satu kekasaran terhadap kami."

Jurulatih Portugal Fernando Santos menepis kritikan Addo terhadap pengadil dari Amerika itu, dengan mengatakan bahawa pegawai VAR akan campur tangan sekiranya mereka melihat sesuatu yang tidak diingini.

"Jika VAR mengatakan pengadil harus melihat sesuatu maka dia akan melihatnya," kata Santos.

"Jika VAR tidak memanggil pengadil, itu kerana mereka melihat imej dan tidak fikir ada apa-apa untuk dilihat,"katanya.


(Penyerang Portugal Cristiano Ronaldo merembat dan menjaringkan sepakan penalti semasa perlawanan

bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 Kumpulan H antara Portugal dan Ghana / AFP)



(Pemain pertahanan Portugal Danilo Pereira berebut bola dengan penyerang Ghana Inaki Williams

semasa perlawanan bola sepak Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 antara Portugal dan Ghana / AFP)

Media Baharu