PARIS, 19 Disember-Naib Juara Piala Dunia 2022, Perancis dijangka mengadakan sesi pertemuan dengan peminat di Paris pada isnin selepas perlawanan akhir yang mengagumkan.
Meskipun tewas, persembahan pasukan yang digelar 'Les Blues' itu mendapat penghormatan daripada penyokong-penyokong negara itu.
Menteri Sukan Perancis, Amelie Oudea-Castera berkata para pemain merancang ke Place de la Concorde di tengah-tengah ibukota Perancis sebaik sahaja kapal terbang yang membawa pasukan tersebut mendarat di Lapangan Terbang Charles-de-Gaulle pada pukul 6 petang waktu tempatan.
"Mereka (para pemain) akan menghabiskan masa di Place de la Concorde bagi mengucapkan terima kasih kepada para penyokong", kata Amelie kepada Stesen Radio, France Inter.
Namun begitu, perkara tersebut masih belum dapat disahkan.
(Pemain Perancis, Kylian Mbappe ditenangkan Presiden Perancis, Emmanuel Macron
ketika majlis penyampaian piala / FOTO AFP)
Dalam perlawanan akhir semalam, Perancis tewas pada penentuan penalti selepas bangkit daripada ketinggalan 2-0 sebelum mengikat kedudukan seri 3-3.
Kemenangan itu membolehkan ketua pasukan Argentina, Lionel Messi merangkul Piala Dunia yang disifatkan sebagai penampilan terakhirnya di kejohanan berprestij itu.
Para pengulas sukan memuji persembahan Perancis yang bangkit dua kali sebelum ditewaskan Argentina.
Dianggarkan sejumlah 24.08 juta penonton menyaksikan perlawan akhir itu melalui saluran TF1 menyaksikan rekod tontonan tertinggi bagi saluran televisyen Perancis.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Perancis memaklumkan seramai 227 orang ditahan selepas tamat perlawanan.-AFP