(S.Kisona)
KUALA LUMPUR, 19 Disember- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan pengunduran pemain perseorangan wanita negara, S Kisona daripada kem kebangsaan untuk bergelar pemain profesional.
Perkara itu diumumkan Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann di Akademi Badminton Bukit Kiara.
Sementara itu, Kisona mengakui dirinya bergelut dengan kecederaan sejak sekian lama dan sudah tiba masanya dia berehat seketika bagi memberi ruang dan tumpuan kepada proses pemulihan kakinya.
"Saya rasa ramai yang tidak sedar dengan kecederaan saya dan saya memang sudah berusaha sebaik mungkin dalam kesemua kejohanan disertai. Apapun, saya memilih untuk bermain untuk tempoh masa yang lebih lama.
"Justeru itu, sekiranya tidak ada proses pemulihan yang baik dalam jangka masa tertentu, mungkin kecederaan yang saya alami akan berterusan. Jadi saya berbincang dengan jurulatih... demi perancangan yang lebih baik, saya rasa sekarang saya perlu memberikan tumpuan kepada proses pemulihan," katanya.
Pemenang pingat emas temasya Sukan SEA 2019 itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke pangkuan BAM suatu hari nanti andai diberikan peluang.
Selain Kisona, seorang lagi pemain turut berundur daripada BAM itu Low Hang Yee daripada kem beregu lelaki.
(Kisona (TENGAH) bersama Wong Choong Hann, Rexy Mainaky, Dr Tim Jones dan
Michelle Chai ketika sidang media di ABM, Bukit Kiara)