PETALING JAYA, 20 Disember- Liga Bola sepak Antara Kelab (ICFL) bakal menganjurkan Kejohanan Supajaguh 2023 dengan misi mencungkil bakat bolasepak seawal mungkin.
Kejohanan edisi sulung bawah 10 dan 12 tahun itu bakal membuka peluang kepada 64 kelab seluruh negara bertanding merebut gelaran juara.
Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar berkata kejohanan mendapat kerjasama Tigre Sporting Empire selaku penyedia venue perlawanan dan setakat ini pihaknya menerima sambutan amat menggalakkan.
"Penyertaan yang kami telah terima adalah dari Pulau Pinang dan Melaka. Mereka menyatakan hasrat untuk menyertai kejohanan ini dan kami masih menanti pasukan dari Terengganu, Kelantan, Perak dan sebagainya. Setakat ini, kami dah ada enam ke lapan pasukan yang menanti, setiap kelab menghantar pasukan B10 dan B12. Setiap kelab hantar dua pasukan," kata Kamil dalam sidang media kejohanan tersebut di Petaling Jaya.
Ketua Pegawai Operasi Tigre Sporting Empire, Zairul Hisham Abdul Malik berkata pihaknya akan sentiasa komited dalam kerjasama ini bagi memastikan pembangunan bola sepak negara.
"Kami di Tigre Sporting Empire mengalu-alukan dan memberi sokongan penuh kepada ICFL dalam usaha mereka untuk membangunkan bola sepak Malaysia di peringkat akar umbi," tambah Zairul kepada media.
Kejohanan Supajaguh 2023 bakal berlangsung pada 4 hingga 5 Mac tahun hadapan dengan mengguna pakai format kumpulan.
Tambah menarik, pasukan yang terkandas awal bakal bersaing dalam 'looser pool' untuk memberi lebih minit permainan kepada semua pasukan.
(Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar)