fb fb fb fb fb

Pasukan Besbol Wanita bakal beraksi di Piala Asia 2023

KUALA LUMPUR, 20 Disember- Pasukan Besbol Wanita negara mengesahkan penyertaan dalam kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung 21 Mei tahun depan.

Naib Presiden Persekutuan Besbol Malaysia, Ahmad Yuszairy Mohamad berkata ini merupakan penglibatan sulung buat negara dalam kejohanan berkenaan.

Ketika ini, segala persiapan sedang dilaksana dengan memperkukuh pasukan daripada aspek kekuatan dan teknikal bagi menghadapi cabaran termasya berkenaan.

"Kita juga merangka siri-siri perlawanan persahabatan pada awal tahun hadapan. Itu antara persediaan terakhir daripada BFM bagi menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 pada tahun depan," kata Yuszairy kepada RTM selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Kejohanan ini akan menjadi platform pemilihan atlet terbaik mewakili negara untuk temasya selepas ini.

Piala Asia 2023 merupakan langkah pertama bagi skuad negara meraih slot dalam Piala Dunia yang akan datang.


(Naib Presiden Persekutuan Besbol Malaysia, Ahmad Yuszairy Mohamad)

Sementara itu, pasukan negara menyasarkan untuk menghuni kedudukan empat teratas pada Piala Asia 2023.

Kapten skuad wanita, Siti Noor Aishah Samin optimis mampu menembusi sasaran, meskipun mengakui kemampuan lawan sebagai satu cabaran yang perlu digalas.

"Saya sangat dengan pasukan. Kami ada pemain yang baik cuma kami perlukan masa untuk membina keserasian dan taktikal pasukan.

Berdasarkan penyertaan kita dalam beberapa kejohanan, sebenarnya corak permainan kita tidak jauh beza dengan pasukan lain. Kita hanya perlu fokus dan sentiasa perbaiki cara bermain," kata Noor Aishah kepada RTM.

Skuad negara turut yakin untuk berdepan cabaran juara bertahan, Jepun dalam kejohanan berkenaan.

Media Baharu