fb fb fb fb fb

Piala Dunia ISTAF 2022: Skuad sepak takraw negara tewas kepada Thailand

(FOTO FB WARISANTAKRAW.MY)

KUALA LUMPUR, 29 November - Skuad sepak takraw negara terus kempunan untuk merangkul pingat emas acara regu lelaki selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan, Thailand dalam aksi akhir Piala Dunia Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) 2022, hari ini.

Pada pertembungan berlangsung di Kompleks Sukan Daejon Hanbat, Korea Selatan itu, skuad negara dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir bermula dengan langkah kiri apabila tunduk 18-21 pada set pertama.

Di set kedua, skuad negara terus hampa apabila tewas 19-21 kepada skuad Gajah Putih yang membariskan Kritsanapong Nontakote, Thawisak Thongsai dan Yodsawat Uthaijaronsri.


(Skuad sepak takraw negara terus kempunan untuk merangkul pingat emas acara regu lelaki
selepas tewas 0-2 kepada juara bertahan, Thailand/ Foto FB WarisanTakraw.my)

Piala Dunia ISTAF kali pertama di Kuala Lumpur pada tahun 2011 menyaksikan Thailand yang dibarisi Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee menewaskan Noor Azman Hamid, Norshahruddin Mad Ghani dan Farhan Adam, 15-4, 15-6, 15-11.

Skuad Gajah Putih terus melebarkan penguasaan apabila gandingan Kritsanapong Nontakote, Jirasak Pakbuangoen dan Rachan mempertahankan gelaran dunia di Hyderabad, India pada tahun 2017 setelah mengatasi Mohammad Syahir, Mohd Norhafizi Abdul Razak dan Farhan Adam 21-19, 23-21.

Piala Dunia ISTAF tidak dapat dilangsungkan pada tahun 2014, selain dari tahun 2018 hingga 2021 termasuk akibat pandemik COVID-19.

Media Baharu