PARIS, 8 Januari- Pengakhiran karier kejurulatihan Didier Deschamps di Perancis selepas Piala Dunia 2026, bakal memahat namanya sebagai legenda terhebat dalam sejarah bola sepak negara itu.
Deschamps, 56, dikenali kerana kejayaan luar biasanya sebagai pemain dan pengurus termasuk memenangi Piala Dunia sebagai kapten pasukan pada 1998 dan sekali lagi sebagai jurulatih pada 2018.
Walaupun gagal dalam dua pusingan akhir utama iaitu Kejohanan Eropah 2016 dan Piala Dunia 2022, beliau tetap dianggap antara jurulatih paling berjaya dalam sejarah bola sepak Perancis.
Deschamps mengambil alih jawatan jurulatih pada 2012, selepas membawa kejayaan kepada setiap kelab yang dikendalikannya termasuk gelaran Liga Juara-Juara bersama Marseille pada 1993 dan Juventus pada 1996 sebagai pemain.
Beliau juga mencipta sejarah sebagai jurulatih, termasuk membawa Marseille memenangi Ligue 1 pada 2010, kejuaraan pertama kelab itu dalam tempoh 18 tahun.
Sebagai jurulatih pasukan kebangsaan, Deschamps telah mengetuai pasukan dalam 165 perlawanan, menjadikannya jurulatih paling lama berkhidmat.
Beliau terkenal dengan pendekatannya yang tegas, memastikan kestabilan dalam skuad dan tidak teragak-agak menyingkirkan pemain kontroversi seperti Samir Nasri dan Karim Benzema demi keharmonian pasukan.
Dengan hanya dua tahun sebelum tamat tempohnya sebagai jurulatih, Deschamps berharap untuk menutup karier cemerlangnya dengan satu lagi kejayaan di Piala Dunia 2026.
Hasratnya untuk bergandingan bersama bintang utama pasukan, Kylian Mbappe, dalam "tarian terakhir" mereka yang berpotensi mengukuhkan legasi beliau sebagai ikon bola sepak Perancis.- REUTERS