fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2026: Jepun pilih aksi persahabatan di AS sebagai persiapan

Pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma (kiri) kembali perkuadkan skuad Jepun pada Piala Dunia 2026/Foto REUTERS

TOKYO, 28 Ogos - Pemain sayap Brighton, Kaoru Mitoma, kembali memperkuatkan skuad 'Samurai biru' bagi aksi persahabatan menentang Mexico dan Amerika Syarikat (AS) sebagai persediaan awal Piala Dunia 2026.

Mitoma, yang terlepas pusingan kelayakan terakhir pada Jun lalu, akan bersama pasukan bimbingan Hajime Moriyasu berdepan Mexico di Oakland pada 6 September, sebelum menentang Amerika Syarikat (AS) di Columbus tiga hari kemudian.

Jepun menjadi pasukan pertama menempah slot ke Piala Dunia di AS, Mexico dan Kanada selepas mengesahkan kelayakan pada Mac lalu.

Moriyasu berkata aksi persahabatan itu penting untuk membiasakan pasukan dengan suasana kejohanan, termasuk cabaran perjalanan antara bandar yang mempunyai perbezaan masa tiga jam.

“Bermain di AS, merasai suasananya dan meningkatkan motivasi pemain amat penting untuk persiapan kami,” katanya.

Turut tersenarai ialah Wataru Endo (Liverpool), Takefusa Kubo (Real Sociedad) dan Ritsu Doan (Eintracht Frankfurt).

Bagaimanapun, beberapa pemain utama termasuk Daichi Kamada (Crystal Palace) dan Ao Tanaka (Leeds United) tidak dipanggil kerana mengalami kecederaan.

Jepun mara ke Piala Dunia selepas cemerlang di pusingan ketiga kelayakan Asia dengan rekod 30 jaringan dan hanya dibolosi 3 gol dalam 10 perlawanan.

Jepun kini berada di kedudukan ke-17 ranking FIFA, dan bakal menguji kekuatan mereka menentang lawan yang berada di ranking lebih tinggi, iaitu Mexico (ke-13) dan AS (ke-15).

“Pasukan Asia biasanya lebih bertahan dan menanti peluang untuk menyerang balas, tetapi Mexico dan AS akan memberi tekanan lebih tinggi kepada kami.

"Saya menjangkakan aksi menentang Mexico akan menjadi ujian paling sukar,” ujar Moriyasu. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD