GRIMSBY, 28 Ogos - Pengurus Manchester United, Ruben Amorim memohon maaf kepada penyokong selepas pasukannya mengalami kekalahan memalukan apabila disingkirkan oleh kelab divisyen keempat, Grimsby Town, dalam saingan Piala Liga Inggeris pada Rabu.
Pada perlawanan tersebut, Manchester United dilihat bergelut sebelum menyamakan kedudukan 2-2 menerusi tandukan Hary Maguire pada minit ke-89.
Kedudukan seri itu menyebabkan perlawanan terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti yang memihak kepada Grimsby 12-11 selepas sepakan Bryan Mbeumo melantun terkena palang.
“Segalanya tidak menjadi sejak permulaan. Kami seolah-olah tidak berada di sini.
"Ini bukan sekadar keputusan, tetapi masalah besar dalam kelab ini. Saya hanya boleh katakan maaf kepada penyokong,” kata Amorim.
Beliau turut memberi bayangan wujud ketidakpuasan hati dalam skuadnya, dan berkata pemain telah “bersuara dengan jelas” melalui aksi hambar mereka.
“Mereka sudah menunjukkan apa yang mereka mahu. Saya rasa mudah untuk anda tafsir,” katanya.
Kesilapan penjaga gol Andre Onana turut menjadi tumpuan apabila dia gagal menutup ruang gol pertama Grimsby dan tidak berjaya menangkap kemas hantaran lintang yang disudahkan bekas pemain akademi United, Tyrell Warren, untuk gol kedua.
Namun, Amorim enggan menuding jari kepada Onana.
“Ini bukan salah Andre. Dengan segala hormat, saya sudah katakan pasukan lawan lebih baik. Ini bukan isu penjaga gol, ia lebih daripada itu,” tegasnya.
Kekalahan berkenaan menyaksikan harapan United untuk meraih trofi musim ini kini hanya tertumpu kepada Piala FA, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Amorim yang mengakui masih mencari jalan keluar daripada prestasi tidak menentu pasukannya. - AFP