fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2023: Bintang Tottenham digugur daripada skuad Jepun

(Mana Iwabuchi dari Jepun beraksi/REUTERS)

CHIBA, 13 Jun- Penyerang berpengalaman Tottenham Hotspur, Mana Iwabuchi tidak disenaraikan dalam skuad kebangsaan Jepun yang bakal beraksi dalam Piala Dunia Wanita 2023 bulan depan.

Iwabuchi, 30 tahun, merupakan sebahagian daripada skuad yang memenangi Piala Dunia 2011.

Dia bagaimanapun digugurkan daripada pasukan kendalian jurulatih Futoshi Ikeda yang akan beraksi di Australia dan New Zealand pada Julai hingga Ogos ini.

Jepun berada dalam Kumpulan C bersama Sepanyol, Costa Rica dan Zambia.

Ikeda antara lain menamakan pemain Manchester City Yui Hasegawa, pemain Liverpool Fuka Nagano dan dua bintang West Ham Risa Shimizu dan Honoka Hayashi dalam skuad 23 pemain.

Ketiadaan Iwabuchi bermakna ketua pasukan, Saki Kumagai adalah satu-satunya pemenang Piala Dunia 2011 yang terpilih.

Kumagai yang baru berpindah dari Bayern Munich ke Roma, menjaringkan sepakan penalti kemenangan dalam perlawanan akhir menentang Amerika Syarikat 12 tahun lalu.

"Iwabuchi adalah pemain yang telah banyak berjasa memacu pasukan ini ke hadapan. Tetapi saya memilih 23 pemain berdasarkan pelbagai kriteria seperti prestasi semasa, kecergasan, struktur pasukan dan apa yang kami perlukan dalam situasi tertentu," kata Ikeda.

Iwabuchi, yang menyertai Tottenham secara pinjaman daripada Arsenal musim ini, telah beraksi sebanyak tiga kali di Piala Dunia.

"Saya tidak dapat menyertai skuad kali ini tetapi saya berharap pasukan dapat membawa semangat saya bersama mereka," tulisnya di Twitter.

Jepun tewas kepada Belanda dalam pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2019, selepas mara ke perlawanan akhir dua kejohanan sebelum itu.

Ikeda yang mengambil alih tugas sebagai jurulatih pada 2021 berkata pemainnya "berazam untuk mengembalikan Jepun ke kedudukan yang lebih kukuh ".-AFP

(Penyerang Jepun Mana Iwabuchi diketepikan daripada skuad Jepun untuk Piala Dunia/AFP)

Media Baharu