fb fb fb fb fb

Jerman panggil semula Sane, beri El Mala penampilan pertama kelayakan Piala Dunia

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jerman, Julian Nagelsmann/ AFP

BERLIN, 6 November – Leroy Sane dipanggil semula manakala Said El Mala menerima panggilan pertama menyertai skuad 25 pemain Jerman bagi saingan kelayakan Piala Dunia, umum ketua jurulatih Julian Nagelsmann pada Khamis.

El Mala, 19, yang baru dinaikkan bersama Cologne musim panas lalu, mendapat tempat walaupun hanya beraksi dalam sembilan perlawanan Bundesliga, dengan rekod empat gol musim ini.

Pertahanan Newcastle, Malick Thiaw turut kembali selepas dua tahun tersisih, manakala penyerang Brentford, Kevin Schade dipanggil semula buat kali pertama sejak 2024.

Empat pemain iaitu Robert Andrich, Robin Koch, Angelo Stiller dan Maximilian Beier digugurkan daripada skuad Oktober.

Bekas pemain sayap Manchester City dan Bayern Munich, Sane yang kini menyarung jersi Galatasaray kali terakhir bermain untuk Jerman pada Jun lalu.

Nagelsmann berkata Sane layak mendapat panggilan semula selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam Liga Juara-Juara dan Super Lig.

Pemain kebangsaan berusia 28 tahun itu menjaringkan tiga gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam 14 perlawanan bersama kelab Turki itu.

Beberapa pemain utama Jerman masih dibelenggu kecederaan termasuk Kai Havertz, Jamal Musiala, Niclas Fuellkrug dan Tim Kleindienst selain penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen dan pertahanan Antonio Rudiger.

Dua pemain Liga Perdana Inggeris, Florian Wirtz (Liverpool) dan Nick Woltemade (Newcastle) dijangka mengetuai barisan serangan Jerman.

Jerman akan menentang Luxembourg di tempat lawan pada 14 November sebelum menghadapi pertembungan penting menentang Slovakia di Leipzig tiga hari kemudian.

Dua kemenangan akan memastikan Jerman menamatkan saingan sebagai pendahulu kumpulan dan mara terus ke Piala Dunia. Jika gagal, mereka perlu melalui pusingan kelayakan tambahan pada Mac.

Ketika ini, Slovakia berkongsi sembilan mata dengan Jerman dalam Kumpulan A, namun skuad kendalian Nagelsmann mendahului berdasarkan perbezaan jaringan.

Slovakia sebelum ini menewaskan Jerman 2-0 di laman sendiri pada September dan akan bertemu Ireland Utara dalam satu lagi aksi kelayakan mereka. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN