SAO PAULO, 6 November – Pelumba Mercedes, George Russell, menyatakan beliau bersedia menghadapi apa sahaja cabaran apabila kembali ke Litar Interlagos, lokasi penuh kenangan yang terkenal dengan cuaca tidak menentu dan drama emosi dalam perlumbaan Formula Satu (F1).
Pada tahun 2022, Russell meraih kemenangan Grand Prix pertama dalam kariernya di Brazil selepas bermula di petak utama dan turut memenangi perlumbaan 'sprint' Sabtu.
Namun, pada tahun lalu, nasib tidak menyebelahinya walaupun bermula di barisan hadapan dan mendahului perlumbaan, kehadiran kereta keselamatan dan bendera merah menyebabkan beliau sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat, manakala Max Verstappen dari Red Bull muncul juara walaupun bermula dari petak ke-17.
“Kami masuk ke pit, dan dua minit kemudian bendera merah dikibarkan,” kata Russell kepada Reuters dalam satu temu bual bersama penaja pasukan, Petronas, pada Rabu.
“Saya benar-benar kecewa selepas perlumbaan itu kerana ia seperti nasib yang ditentukan syiling. Jika tiada bendera merah, kami mungkin terus menuju ke kemenangan. Itulah dunia F1, kadang kala berpihak kepada anda, kadang kala tidak.” kata beliau.
Russell mengimbas kembali kemenangan sulungnya di Brazil yang memberi kesan mendalam bukan sahaja kepadanya, tetapi juga ibu bapanya dan jurutera perlumbaan yang turut menitiskan air mata.
“Brazil akan sentiasa menjadi tempat istimewa bagi saya. Di sinilah saya buat penampilan FP1 pertama saya bersama Force India pada 2017,” katanya.
“Saya suka budaya di sini, peminatnya sangat bersemangat. Sama ada saya menang atau tidak, Brazil tetap perlumbaan yang saya nanti-nantikan.”
Musim ini, Russell telah meraih dua kemenangan, termasuk kejayaan terbaharunya di Grand Prix Singapura pada bulan lalu.
Walaupun fokus kini tertumpu kepada era enjin baharu F1 musim depan, beliau masih berjuang untuk menamatkan musim 2025 dengan keputusan terbaik.
Ketika perebutan gelaran pemandu kini di antara dua rakan sepasukan McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri, Russell bersama Mercedes masih bersaing dengan Ferrari dan Red Bull untuk tempat kedua dalam kejuaraan pengeluar.
Daripada empat perlumbaan yang tinggal, Russell melihat Las Vegas dan Qatar sebagai peluang terbaik untuk Mercedes meraih kemenangan. -REUTERS