LONDON, 6 November – Pemain pertahanan Manchester City, John Stones, percaya rakan sepasukannya Phil Foden telah memberikan ketua jurulatih England, Thomas Tuchel satu dilema pemilihan menjelang aksi terakhir kelayakan Piala Dunia menentang Serbia dan Albania minggu depan.
Foden meneruskan permulaan cemerlang musim ini dengan dua jaringan ketika membantu City menewaskan Borussia Dortmund 4-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu.
Pemain tengah kreatif itu sebelum ini mengalami kemerosotan prestasi pada musim 2024/25 dan tidak dipanggil oleh Tuchel bulan lalu.
Namun, Stones berpendapat prestasi semasa Foden layak untuk dipertimbangkan semula apabila Tuchel mengumumkan senarai skuad England pada Jumaat, bagi dua perlawanan kompetitif terakhir sebelum Piala Dunia tahun depan.
“Saya amat gembira untuknya. Saya peminat besar Phil, cara dia bermain, gaya semula jadinya dan keyakinannya di atas padang,” kata Stones.
“Saya gembira dia kembali menjaringkan gol, menikmati permainan dan berada dalam mood terbaik. Ketika itulah anda akan lihat kehebatan sebenarnya.
“Saya tahu dia mahu kembali ke skuad. Dia sebahagian daripada pasukan dan saya tahu pengurus menyukainya. Tapi kami semua perlu berjuang untuk tempat itu dan saya rasa tanpa ragu, dia telah memberi pengurus satu ‘sakit kepala’ yang positif untuk pemilihan,” jelas beliau.
Stones sendiri berharap untuk kekal dalam skuad England selepas kembali cergas daripada kecederaan yang hampir membuatkannya mempertimbangkan persaraan musim lalu.
Dalam pada itu, City akan menanti kunjungan Liverpool pada Ahad dalam pertembungan antara pasukan di tangga kedua dan ketiga Liga Perdana Inggeris. -AFP