BARCELONA, 6 November – Pengendali Barcelona, Hansi Flick menegaskan beliau akan terus menggunakan strategi garisan pertahanan tinggi walaupun pasukannya bergelut di bahagian tersebut menjelang pertembungan La Liga menentang Celta Vigo pada Ahad ini.
Gergasi Catalan itu beberapa kali dibolosi dengan mudah oleh Club Brugge dalam keputusan seri 3-3 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu, apabila pasukan lawan bijak mengambil peluang daripada pendekatan taktikal Barca yang tidak berubah.
Musim lalu, Flick membawa Barca merangkul trebel domestik dengan gaya permainan berintensiti tinggi dan menyerang, namun musim ini ia semakin sukar dikekalkan.
Barca kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Real Madrid selepas tewas dalam El Clasico pada hujung Oktober.
Pada saingan Eropah, mereka berada di tangga ke-11 dengan keputusan seri menentang Brugge selepas tiga kali ketinggalan.
Flick menegaskan beliau tidak akan mengubah falsafah permainan, walaupun pihak lawan kini semakin kerap berjaya menembusi barisan pertahanan Barca.
“Kami boleh bertahan secara rendah (low block) di kawasan sendiri, atau kami teruskan falsafah permainan kami seperti DNA pasukan ini dan memperbaikinya,” kata Flick.
“Kami kekurangan keyakinan, ya. Tetapi saya bukan jurulatih yang akan ubah segalanya hanya kerana tekanan. Kami tidak mahu bertahan dan menang 1-0 secara bertahan.”
Flick turut mengakui kecederaan pemain utama menjejaskan prestasi skuadnya, terutama apabila sistem tekanan tinggi (high pressing) memerlukan semua pemain berada pada tahap kecergasan optimum.
Beliau berharap prestasi pasukan akan meningkat selepas rehat antarabangsa, apabila Raphinha, Joan Garcia dan Pedri dijangka kembali pulih.
Namun, ketiga-tiganya masih belum dapat diturunkan menentang Celta Vigo, di mana Barca hanya menang dua kali daripada 10 kunjungan terakhir mereka ke Balaidos.
Kehilangan pemain pertahanan berpengalaman, Inigo Martínez turut menjejaskan kestabilan manakala Flick masih belum menemui gandingan tetap di posisi pertahanan tengah.
Pemain tengah Frenkie de Jong pula mengakui masalah pertahanan berpunca daripada beberapa faktor.
“Kami lemah ketika diserang balas, lambat mengekori pemain lawan dan posisi kami di bahagian belakang tidak kemas, semuanya menyumbang,” katanya.
Sementara itu, bintang muda Lamine Yamal menunjukkan prestasi cemerlang menentang Brugge dengan satu gol menakjubkan, namun Flick masih berhati-hati dengan tahap kecergasan pemain berusia 18 tahun itu selepas pulih daripada kecederaan pangkal paha. -AFP