fb fb fb fb fb

Piala Dunia Boling Padang: Muhammad Soufi kekal rentak kemenangan

Atlet boling padang negara, Muhammad Soufi Rusli beraksi cemerlang dalam acara singles lelaki apabila berjaya menewaskan pemain dari New Zealand pada Kejohanan Piala Dunia Boling Padang 2025 yang berlangsung di Kompleks Lawn Bowls, hari ini/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 November - Pemain boling padang negara, Muhammad Soufi Rusli menghidupkan peluang mara ke peringkat suku akhir acara perseorangan lelaki dalam Piala Dunia Boling Padang 2025.

Beliau berjaya mencatatkan kemenangan penting ke atas wakil New Zealand, Keanu Darby dalam aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Atlet berusia 38 tahun itu bermula cemerlang dengan kemenangan 14-0 pada set pertama, namun tewas 4-6 pada set kedua, sebelum kembali tenang menutup perlawanan menerusi set penentuan untuk menang 2-1.

Terdahulu, pada aksi pembukaan sebelah pagi, Muhammad Soufi tewas tipis 7-8, 4-7 kepada pemain Australia, Aaron Teys, sekali gus menamatkan hari pertama dengan satu kemenangan dan satu kekalahan.

“Saya perlukan kemenangan untuk perlawanan kedua ini sebab pagi tadi saya kalah kepada wakil Australia. Jadi, apa pun saya kena naikkan semangat saya balik. Dalam kejohanan ini, kalau dah kalah banyak memang susah nak ke depan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Muhammad Soufi dijadual berdepan tiga lagi aksi peringkat kumpulan esok menentang pemain dari Afrika Selatan, India dan Ireland, yang bakal menjadi penentu tempat ke suku akhir.

Beliau mengakui kekuatan mental dan fokus menjadi kunci utama menjelang baki saingan itu.

"Sekarang saya tak mahu fikir jauh sangat. Saya nak fokus satu demi satu perlawanan sebab semua baki perlawanan akan berlangsung di luar. Jadi, saya kena betul-betul mengkaji garisan di luar itu," ujar beliau.

Hanya dua pemain terbaik daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir bagi acara singles lelaki.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN