
SAUDARA PENGARANG
- Peralihan metabolik: glukosa, simpanan hati, lipolisis dan badan keton; insulin menurun, meningkatkan sensitiviti insulin serta menstabilkan paras gula dalam darah.
- Puasa merangsang autophagy, proses pembersihan sel (Hadiah Nobel 2016), serta meningkatkan hormon pembaikan tisu dan mengurangkan keradangan.
- Manfaat bergantung pada tempoh, pola pemakanan dan tahap kesihatan; pesakit kronik, warga tua, ibu hamil dan menyusu perlu nasihat perubatan.
Setiap tahun umat Islam menjalani ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadan. Ia merupakan rukun Islam ketiga dan salah satu tuntutan utama dalam agama.
Ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ia adalah satu bentuk terapi holistik untuk mendisiplinkan diri, melatih kesabaran, mengawal keinginan serta menjauhkan diri daripada sifat mazmumah.
Puasa mengingatkan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi. Ia merupakan tanda kesyukuran atas nikmat Tuhan serta peringatan kepada manusia agar menginsafi nasib mereka yang kurang berkemampuan.
Atas sebab itu, amalan zakat dan sedekah amat digalakkan dalam bulan Ramadan, malah ganjarannya dilipatgandakan berbanding bulan-bulan lain dalam kalendar Islam.
Dari sudut saintifik pula, kelebihan berpuasa telah dilaporkan dalam pelbagai jurnal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Laporan ini bukan hanya hasil dapatan penyelidik beragama Islam, malah turut merangkumi saintis daripada pelbagai latar belakang yang mengkaji kesan puasa terhadap kesihatan manusia.
Apakah sebenarnya yang berlaku dalam tubuh semasa kita berlapar?
Apabila seseorang berhenti mengambil makanan dan minuman untuk tempoh tertentu, tubuh akan melalui beberapa fasa adaptasi fisiologi.
Fasa ini mencetuskan perubahan dalam tubuh manusia yang melibatkan metabolisme tenaga, regulasi hormon, kawalan gula dalam darah serta fungsi otak.
Pada peringkat awal berpuasa, tubuh akan menggunakan glukosa atau gula ringkas sebagai sumber tenaga utama. Kebiasaannya, sumber pertama yang digunakan ialah daripada makanan terakhir yang diambil ketika bersahur.
Sekiranya tiada pengambilan makanan baharu, tubuh akan mula menggunakan gula yang tersimpan di dalam hati sebagai sumber tenaga.
Selepas itu, tubuh akan beralih kepada proses pemecahan lemak simpanan atau lipolisis untuk menghasilkan tenaga yang diperlukan.
Lemak yang dipecahkan ini akan menghasilkan asid lemak bebas dan membentuk badan keton (ketone bodies), yang kemudiannya digunakan sebagai sumber tenaga alternatif oleh tubuh.
Peralihan metabolik ini menunjukkan keupayaan tubuh manusia menyesuaikan diri apabila perlu menghasilkan tenaga daripada sumber yang terhad.
Paras hormon insulin akan menurun semasa berpuasa. Penurunan ini meningkatkan sensitiviti insulin terhadap bertindak balas sel tubuh apabila makanan diambil ketika berbuka.
Ini selari dengan kajian bahawa amalan puasa yang terkawal mampu menstabilkan paras gula dalam darah, mengurangkan risiko rintangan insulin serta berpotensi menyumbang kepada pencegahan diabetes dan sindrom metabolik.
Selain itu, puasa dilaporkan mampu meningkatkan hormon yang berperanan dalam pembaikan tisu dan metabolisme lemak, serta hormon yang berfungsi mengekalkan paras gula dalam darah.
Gabungan faktor ini memberi implikasi positif terhadap kesihatan kardiovaskular, pengurangan keradangan sistemik serta penurunan tekanan darah.
Dari aspek fungsi otak pula, penghasilan badan keton semasa berpuasa dilaporkan mampu menjadi sumber tenaga alternatif kepada sel otak. Sekali gus mampu meningkatkan kecekapan fungsi sel otak serta menyumbang kepada tahap fokus yang lebih baik bagi sesetengah individu.
Selain itu, puasa turut dikaitkan dengan peningkatan faktor neurotropik seperti Brain-Derived Neurotrophic Factor (BDNF), iaitu protein yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan, kelangsungan serta keanjalan neuron. BDNF juga terlibat dalam proses pembelajaran dan pembentukan memori.
Antara kajian paling signifikan berkaitan kesan puasa dan fungsi tubuh ialah penemuan proses “autophagy”. Penemuan ini telah meraih anugerah Hadiah Nobel Perubatan pada tahun 2016.
Autophagy ialah mekanisme pembersihan sel yang menyingkirkan komponen selular rosak atau tidak lagi berfungsi. Ia adalah mekanisme semula jadi yang mampu mengitar semula bahan selular bagi mengekalkan fungsi yang optimum.
Penemuan ini membuka ruang kepada pemahaman baharu tentang bagaimana keadaan kekurangan nutrien sementara, seperti semasa berpuasa, boleh merangsang proses pembersihan sel dalam tubuh.
Walaupun penulisan ini berkisar tentang kebaikan puasa, harus diingat, manfaatnya tetap bergantung kepada beberapa faktor seperti tempoh puasa, tahap kesihatan individu, pola pemakanan serta kualiti diet yang diambil semasa berbuka dan bersahur.
Pengambilan kalori secara berlebihan serta kurang aktiviti fizikal boleh menjejaskan manfaat kesihatan yang diperoleh daripada amalan berpuasa. Justeru, penjagaan pemakanan dan pengambilan diet yang seimbang masih perlu diamalkan walaupun sedang berpuasa.
Selain itu, tidak semua individu mampu menjalankan ibadah puasa. Golongan yang menghidap penyakit kronik, warga tua atau wanita yang hamil dan menyusu contohnya, perlu mendapatkan nasihat perubatan sebelum berpuasa.
Kesimpulannya, puasa bukan sekadar ibadah menahan lapar dan dahaga. Ia adalah latihan menyeluruh yang menyentuh aspek fizikal, mental dan spiritual manusia.
Puasa turut memainkan peranan signifikan pada fungsi tubuh badan. Jika ia disertai dengan pemakanan yang seimbang serta gaya hidup sihat, amalan ini berpotensi menyumbang kepada kesejahteraan tubuh. Selamat berpuasa!
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Seri Narti Edayu Sarchio
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Bioperubatan,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM
e-mail: serinarti@upm.edu.my