
SAUDARA PENGARANG
- Masjid perlu diperluaskan peranan sebagai ekosistem sokongan sosial untuk pembangunan awal kanak-kanak dan kesejahteraan keluarga.
- Aktiviti pembelajaran sambil bermain di masjid menyokong perkembangan holistik kognitif, emosi, sosial dan spiritual kanak-kanak.
- Dasar mesra kanak-kanak: latihan pengasuh, ruang khas dan integrasi aktiviti awal dapat menjadi polisi sosial berimpak tinggi.
Dalam perbincangan pembangunan insan, tumpuan sering diberikan kepada sistem pendidikan formal dan institusi keluarga. Namun satu institusi sosial yang semakin dilupakan potensinya ialah masjid.
Ramadan membuka ruang refleksi yang penting iaitu adakah masjid hanya berfungsi sebagai ruang ibadah ritual, atau wajar diperluaskan peranannya sebagai ekosistem sokongan sosial, khususnya untuk pembangunan awal kanak-kanak dan kesejahteraan keluarga.
Misalnya inisiatif Aktiviti Santai Nurseri Ramadan di Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor (UIS) memberi satu contoh praktikal bagaimana masjid boleh memainkan peranan strategik dalam pembangunan sosial masyarakat.
Masjid dan Dasar Mesra Keluarga
Malaysia sedang berdepan cabaran keseimbangan kerja–keluarga, tekanan keibubapaan dan isu kesihatan mental ibu bapa muda. Namun perbincangan dasar awam sering tertumpu kepada tempat kerja mesra keluarga, pusat jagaan atau institusi pendidikan awal semata-mata. Masjid jarang dilihat sebagai sebahagian daripada solusi dasar sosial.
Pendekatan mesra kanak-kanak yang dilaksanakan di Masjid Al-Azhar, UIS menunjukkan bahawa masjid mampu mengisi jurang ini; menjadi ruang sokongan komuniti yang membantu ibu bapa beribadah dengan tenang tanpa meminggirkan keperluan anak-anak. ‘Me time’ untuk berehat dan meluahkan emosi diri kepada Pencipta dengan penuh muhasabah dan keinsafan.
Ini sejajar dengan hadis Nabi Muhammad SAW – Riwayat Muhammad (Riwayat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)“Bukan daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi yang kecil dan tidak menghormati yang tua.”
Kasih sayang kepada kanak-kanak adalah tanda kesempurnaan iman dan akhlak seorang Muslim. Nabi Muhammad SAW sendiri sering mencium, mendukung dan bergurau dengan cucunya Hasan dan Husain.
Begitu juga dalam hadis yang lain. Diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW mencium cucunya. Seorang sahabat berkata dia tidak pernah mencium anak-anaknya. Lalu Baginda bersabda:“Barang siapa tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.”
Maksud & Pengajaran dari hadis ini menunjukkan kasih sayang adalah sunnah. Ia bukan kelemahan, tetapi kekuatan pendidikan jiwa. Anak yang dibesarkan dengan rahmah akan membesar dengan empati.
Pembelajaran Sambil Bermain: Selari Kerangka Pendidikan Awal
Aktiviti seperti seni kreatif, permainan blok, puzzle, aktiviti sensori dan penceritaan Islami bukan sekadar program sampingan Ramadan. Ia selari dengan prinsip pendidikan awal kanak-kanak yang menekankan perkembangan holistik meliputi kognitif, emosi, sosial dan spiritual.
Dari sudut dasar, pendekatan ini menyokong usaha negara melahirkan generasi seimbang, bermula sebelum usia persekolahan formal. Apabila masjid menyediakan persekitaran pembelajaran tidak formal yang selamat dan menyeronokkan, ia melengkapkan ekosistem pendidikan sedia ada tanpa kos tinggi atau struktur birokrasi yang kompleks.
Story Time Islami dan Pembinaan Akhlak Awal Usia
Pendidikan akhlak sering dibincangkan pada peringkat sekolah, sedangkan nilai asas terbentuk jauh lebih awal. Penceritaan kisah nabi dan nilai murni dalam suasana santai di masjid membina asas moral melalui emosi positif, bukan paksaan.
Dari perspektif pembangunan sosial, ini adalah intervensi awal yang signifikan. Kanak-kanak yang membina hubungan positif dengan masjid sejak kecil lebih cenderung membentuk identiti beragama yang sihat dan seimbang apabila dewasa.
Ruang Selamat dan Infrastruktur Sosial Komuniti
Penyediaan ruang yang selamat dan dipantau oleh pengasuh yang prihatin dan penyayang adalah elemen kritikal. Ia bukan sahaja menjamin keselamatan fizikal, malah kestabilan emosi kanak-kanak. Pada masa sama, ia membina kepercayaan ibu bapa terhadap institusi masjid.
Dalam kerangka dasar sosial, kepercayaan ini adalah modal sosial yang sangat bernilai. Komuniti yang saling percaya lebih mudah digerakkan untuk program kebajikan, pendidikan dan sokongan sosial lain.
Masjid sering dilihat sebagai infrastruktur fizikal ibadah. Namun inisiatif seperti ini membuktikan masjid juga berfungsi sebagai infrastruktur sosial yang menyediakan ruang sokongan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.
Model Nurseri di Masjid UIS menunjukkan bahawa dengan perancangan kos yang minimum, namun dengan niat dan hala tuju yang jelas, masjid boleh menyumbang secara langsung kepada agenda kesejahteraan keluarga, pembangunan kanak-kanak dan pengukuhan komuniti setempat.
Ke Arah Polisi Masjid Mesra Kanak-Kanak
Persoalan penting yang wajar diketengahkan ialah: Perlukah pendekatan masjid mesra kanak-kanak ini diformalkan sebagai satu garis panduan atau amalan baik di peringkat lebih luas?
Bukan dalam bentuk kawalan berlebihan, tetapi sebagai galakan dasar latihan pengasuh berelaun, penyediaan ruang khas kanak-kanak, dan integrasi aktiviti pendidikan awal dalam program masjid. Langkah ini berpotensi menjadikan masjid rakan strategik kepada dasar kesejahteraan sosial negara.
Aktiviti Santai Nurseri Ramadan bukan sekadar program bermusim. Ia adalah cerminan potensi besar masjid dalam pembangunan insan sejak usia awal. Apabila kanak-kanak dibesarkan dengan pengalaman positif di masjid; boleh bermain, belajar dan disayangi, mereka sedang membina asas spiritual dan sosial yang kukuh untuk masa depan.
Dalam Islam, menyayangi kanak-kanak bukan sekadar perasaan, tetapi sebahagian dari tuntutan syarak, tanda kesempurnaan iman, asas pembinaan generasi rabbani dan manifestasi sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim dalam kehidupan.
Kesimpulannya masjid mesra kanak-kanak bukan ancaman kepada kekhusyukan ibadah, sebaliknya pelaburan jangka panjang kepada kestabilan keluarga dan kekuatan masyarakat. Inilah perspektif dasar sosial yang wajar diraikan dan diperluaskan.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Bahasa Inggeris dan Komunikasi
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
e-mel: rahmahtunnisah@uis.edu.my

Norsaadah binti Din@Mohamad Nasiruddin
Pensyarah Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor