fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2022: Mueller sifatkan kekecewaan Jerman sebagai 'malapetaka sebenar'

(FOTO IHSAN FIFA)

DOHA, 2 Disember- Penyerang Jerman Thomas Mueller berkata penyingkiran pusingan pertama buat kali kedua berturut-turut negaranya daripada Piala Dunia adalah "malapetaka sebenar".

Manakala rakan sepasukan Kai Havertz menyifatkan kekecewaan itu ibarat menonton filem seram.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Al-Bayt itu, Jerman menewaskan Costa Rica 4-2 tetapi keputusan Sepanyol yang tewas 1-2 kepada Jepun menyaksikan skuad kendalian Hansi Flick itu mengumpul 4 mata, sama dengan Sepanyol dan kedudukan ditentukan menerusi perbezaan gol.

Menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga, bermakna Die Mannschaft gagal mara ke peringkat seterusnya.

“Ia amat pahit untuk kami kerana kami sudah menghasilkan kemenangan,” kata Mueller.

"Kami rasa tidak berdaya."

Mueller adalah sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Dunia 2014 dan turut berada dalam pasukan yang tersingkir pada peringkat yang sama empat tahun lalu di Rusia.

Sementara itu, Havertz berkata pasukannya hanya mengetahui nasib mereka apabila keputusan perlawanan antara Jepun dan Sepanyol dipaparkan di skrin besar stadium menjadikannya lebih sukar.

“Apabila ia berlaku begini, rasanya seperti menonton filem seram,” kata Havertz, yang menjaringkan dua gol selepas diturunkan dari bangku simpanan.

"Kami mengetahui semasa perlawanan bahawa Jepun mendahului, dan kemudian kedudukan kumpulan dipaparkan di stadium. Kami masih mempunyai sedikit harapan bahawa Sepanyol akan menjaringkan gol.

"Tetapi kemudian kami menyedari bahawa perlawanan Jepun telah berakhir."

Havertz menyalahkan prestasi pasukan menentang Jepun atas penyingkiran mereka dan membayangkan bahawa semuanya 'tidak kena' dalam bola sepak Jerman.

“Apabila anda keluar dua kali pada pusingan pertama dan sekali pada pusingan 16, ia amat pahit,” katanya.

“Kami perlu berterus terang dan mengatakan bahawa selama empat tahun, semuanya tidak berjalan lancar.

"Sekarang kami telah tersingkir dua kali dalam peringkat kumpulan. Saya tidak fikir kami adalah pasukan pilihan Piala Dunia lagi."

Jurulatih Hansi Flick, yang masih terikat kontrak sehingga Euro 2024 yang akan diadakan di Jerman, berkata dia tidak bercadang untuk berundur tetapi mengakui keputusan itu bergantung kepada majikannya.

“Dari pihak saya, tiada sebab untuk tidak meneruskannya (kontrak),” tambahnya.

"Saya suka berada bersama skuad kebangsaan Jerman, kami mempunyai pemain yang bagus."

Flick menggesa perubahan segera kepada pembangunan belia bola sepak Jerman dan berkata mereka perlu melihat ke negara lain untuk mencari idea baharu.

“Kami mempunyai pemain yang bermain dengan kelab terbaik dan kami mempunyai kualiti (tetapi) saya percaya bahawa untuk masa depan bola sepak Jerman, kami perlu melakukan perkara yang berbeza dalam latihan,” kata Flick.

“Ia akan menjadi sangat penting untuk memberi tumpuan kepada generasi baharu pemain bola sepak.

"Terdapat pemain yang bagus untuk masa depan, tetapi untuk sepuluh tahun akan datang, adalah sangat penting untuk kami membuat langkah yang betul sekarang."-AFP


(FOTO IHSAN FIFA)

Media Baharu