fb fb fb fb fb

MPL Malaysia jalin kerjasama eksklusif dengan filem 'Predator: Badlands'

Foto MPL Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 November- Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia (MPL Malaysia) terus mengukuhkan peranannya sebagai kuasa besar hiburan belia apabila mengumumkan kolaborasi eksklusif dengan francais filem aksi sains fiksyen Hollywood, Predator: Badlands.

Kerjasama berprofil tinggi itu bertujuan membawa elemen ikonik daripada filem tersebut ke dalam ekosistem permainan mudah alih, sekali gus meluaskan dimensi hiburan bagi peminat MLBB di Malaysia.

Sebagai permulaan kepada kolaborasi tersebut, seramai 220 warga MPL Malaysia terdiri daripada pemain profesional, jurulatih, komuniti dan wakil media telah berpeluang menyaksikan tayangan perdana filem Predator: Badlands.

Langkah itu memperlihatkan komitmen MPL Malaysia untuk menyediakan pengalaman nilai tambah yang melangkaui pertandingan e-sukan semata-mata.

Menurut Krystal Tan, Ketua Pembangunan Perniagaan Esukan Malaysia MOONTON Games, kerjasama berkenaan mencerminkan hala tuju yang berani dan kreatif dalam memperluaskan nilai liga.

“Kerjasama ini menggambarkan hala tuju kreatif dan berani kami dalam menjadikan MPL Malaysia bukan sekadar pertandingan, tetapi produk hiburan sukan nombor satu untuk belia Malaysia,” katanya.

Kolaborasi dengan Predator: Badlands merupakan kerjasama kedua MPL Malaysia bersama francais di bawah Disney, selepas kejayaan projek bersama TRON: Ares sebelum ini.

Kedua-dua inisiatif tersebut membuktikan kedudukan kukuh dan relevan MLBB sebagai sebahagian penting daripada budaya anak muda masa kini, menetapkan MPL Malaysia sebagai platform hiburan sukan yang berpengaruh dalam ekosistem belia negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM