fb fb fb fb fb

Djokovic raih gelaran ke-101, dinobat juara tertua Jelajah ATP

Novak Djokovic/REUTERS

ATHENS, 9 November- Novak Djokovic mencatat sejarah baharu apabila menjadi juara paling tua dalam sejarah Jelajah ATP (ATP Tour).

Beliau berusia 38 tahun ketika menewaskan Lorenzo Musetti 4-6, 6-3, 7-5 untuk memenangi Kejohanan Hellenic pada Sabtu, sekali gus merangkul gelaran Jelajah ATP beliau yang ke-101.

Perlawanan sengit itu berlangsung hampir tiga jam, menyaksikan Musetti berjaya merampas satu set daripada pemain pilihan utama itu di gelanggang keras buat kali pertama.

Musetti berjuang keras dalam usaha memenangi perlawanan dan mengesahkan tempatnya di Pusingan Akhir ATP di Turin.

Namun, Djokovic bangkit pada set kedua.

Pada set penentuan, ketika mendahului 5-4, Djokovic yang jelas keletihan telah gagal mempertahankan servisnya, membolehkan Musetti kembali menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, beliau kembali mematahkan servis Musetti sebelum menggunakan sisa tenaga terakhirnya untuk memenangi perlawanan.

Kemenangan itu amat bermakna kerana Djokovic memecah rekod Roger Federer dengan memenangi gelaran di gelanggang keras yang ke-72.

Djokovic yang pada asalnya dijadualkan untuk beraksi di Pusingan Akhir ATP, kemudiannya menarik diri pada Sabtu.

Beliau mengumumkan di media sosial bahawa penarikan diri itu adalah disebabkan kecederaan lama yang dialaminya. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM