FLORIDA, 9 November- Inter Miami melakar sejarah kelab buat kali pertama apabila berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir playoff Piala Major League Soccer (MLS).
Kemenangan besar 4-0 ke atas Nashville SC disumbangkan sepenuhnya oleh magis Lionel Messi di Stadium DRV PNK, Sabtu malam.
Messi mencatatkan dua gol dan dua bantuan gol, yang bermaksud beliau terlibat dalam kesemua lapan jaringan yang dicetak Inter Miami sepanjang siri tiga perlawanan itu.
Kemenangan tersebut amat penting walaupun Miami terpaksa beraksi tanpa penyerang utama, Luis Suarez, yang menjalani penggantungan.
Bintang lain yang menyerlah ialah Tadeo Allende, yang turut menyumbang dua gol dan satu bantuan gol pada separuh masa kedua.
Messi membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 selepas memanipulasi kesilapan pertahanan Nashville, sebelum menambah gol kedua pada minit ke-39 hasil hantaran Mateo Silvetti, berpunca daripada kesilapan Walker Zimmerman.
Inter Miami mengesahkan kemenangan besar mereka menerusi dua gol pantas Allende pada minit ke-73 dan ke-76, dengan kedua-dua jaringan dibantu oleh kombinasi dari bahagian kiri.
Kini, Inter Miami, pasukan pilihan ketiga akan berhadapan dengan cabaran besar apabila mereka dijadualkan bertemu pasukan pilihan kedua, FC Cincinnati, di tempat lawan dalam perlawanan tunggal separuh akhir Persidangan Timur.
Perlawanan itu dijangka berlangsung sengit memandangkan Messi tidak pernah menjaringkan gol menentang Cincinnati dalam sebarang perlawanan sebelum ini. -REUTERS