fb fb fb fb fb

WRC 2025: Ogier takluk Rali Jepun

Pelumba Perancis, Sebastian Ogier/AFP

TOKYO, 9 November - Pemandu Perancis, Sebastien Ogier menghidupkan semula perebutan kejuaraan Dunia Rali (WRC) hingga ke pusingan terakhir musim ini selepas menjuarai Rali Jepun pada Ahad.

Pemandu berusia 41 tahun itu menamatkan perlumbaan 11.6 saat di depan Evans, dalam saingan hari terakhir yang dilanda hujan di laluan berliku dan licin dipenuhi daun luruh.

Kemenangan tersebut sekali gus merapatkan jurang mata kepada hanya tiga mata di belakang pendahulu, Elfyn Evans.

Ogier menyifatkan kemenangan itu sebagai “hasil yang sempurna” selepas kemalangan dialaminya pada Rali Eropah Tengah bulan lalu.

“Ia hujung minggu yang mencabar kerana hujan hari ini menjadikan semuanya tidak pasti. Seolah-olah bermula semula pagi ini,” kata Ogier yang menaiki bumbung keretanya untuk meraikan kemenangan selepas melintasi garisan penamat.

“Sekarang kita ke pusingan seterusnya", kata Ogier.

Ogier memulakan hari terakhir dengan kelebihan 6.5 saat di depan Evans, namun hujan lebat mengubah segala-galanya.

Pemandu Perancis itu kekal tenang, memenangi tiga peringkat khas dan mengutip lima mata maksimum hari Ahad.

Evans pula terus memberikan tekanan sepanjang hari dan masih memegang kelebihan untuk merebut kejuaraan di Arab Saudi.

Pemandu Wales itu yang telah empat kali menamatkan musim sebagai naib juara dunia mengakui sukar menyaingi Ogier.

“Saya rasa prestasi kami di sini agak baik, perbezaan antara kami berdua sangat kecil,” kata Evans.

“Dia berjaya buat perbezaan kecil, dan itulah yang diperlukan untuk menang di tahap ini.”

Pemandu Finland, Sami Pajari, meraih podium pertamanya selepas menamatkan saingan di tempat ketiga, 2 minit 16.6 saat di belakang Ogier.

Sementara itu, juara bertahan dunia Thierry Neuville terpaksa menarik diri sebelum peringkat pembukaan hari terakhir akibat masalah pengelap cermin depan.

Pemandu Perancis, Adrien Fourmaux, juga tidak dapat menamatkan perlumbaan selepas terbabas dan melanggar pokok, menyebabkan pintu di bahagian tempat duduk juru pandunya, Alexandre Coria, tercabut. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD