fb fb fb fb fb

16 pasukan bakal warnai edisi sulung MCFA Unity Cup

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 9 November - Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA) menampilkan inisiatif baharu memperkukuh perpaduan menerusi penganjuran MCFA Unity Cup 2025, yang bakal menghimpunkan 16 pasukan dari seluruh negara.

Kejohanan edisi sulung yang dijadual berlangsung pada 28 hingga 30 November ini bukan sekadar medan persaingan, tetapi simbol penyatuan komuniti bola sepak tempatan merentas latar budaya dan etnik.

Presiden MCFA, Datuk Jeffrey Low Han Chau, berkata pertandingan ini diharap menjadi jambatan kepada kelab-kelab bola sepak akar umbi untuk memperluas jaringan kerjasama dan membuka ruang kepada bakat muda diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Ini merupakan edisi sulung yang menampilkan penyertaan 16 pasukan dari seluruh Malaysia hingga ke Sarawak.

"MCFA percaya format dan pembaharuan yang diperkenalkan ini akan memberi impak positif dalam memperkukuh hubungan antara kelab serta menarik lebih ramai bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi", katanya demikian dalam sidang media sempena pelancaran MCFA Unity Cup 2025 di Bukit Jalil Golf & Country Club hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA), Leong Hong Seng menyifatkan penganjuran kejohanan tersebut sebagai langkah penting untuk menarik kembali minat pemain berketurunan Cina terhadap sukan bola sepak.

Tambah Hong Seng, kejohanan berkenaan boleh dianggap sebagai platform pembangunan bakat di peringkat akar umbi.

Kami mahu kembalikan legasi seperti Datuk Soh Chin Aun. Kamu mahu mewujudkan pemain berketurunan Cina dan memberikan platform tepat untuk bermain yang membolehkan mereka untuk menyertai Liga Malaysia, Liga Super.

Juara bakal membawa pulang piala kejohanan dan wang tunai berjumlah RM5,000.Manakala naib johan bakal membawa pulang RM3,000.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD