MINNESOTA, 9 November- Minnesota United mencatat kemenangan dramatik ke atas Seattle Sounders untuk mara ke peringkat seterusnya dalam aksi playoff Major League Soccer (MLS).
Perlawanan pusingan pertama yang berkesudahan 3-3 itu ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti, apabila Minnesota United menang 7-6 di Saint Paul pada Sabtu.
Penjaga gol Minnesota United, Dayne St. Clair muncul wira apabila melakukan lima tepisan kritikal sepanjang perlawanan selain tersenarai sebagai penjaring menerusi sepakan penalti pada pusingan ke-10.
Kemenangan The Loons disahkan apabila sepakan penjaga gol Seattle, Andrew Thomas, kemudiannya tersasar terkena palang gol.
Perlawanan bermula buruk bagi Minnesota, apabila Seattle mendahului 2-0 dalam masa lapan minit, dijaringkan Albert Rusnak dan Danny Musovski.
Minnesota United merapatkan jurang 2-1 menerusi sepakan percuma cantik oleh Joaquin Pereyra.
Pada minit ke-31, Joseph Rosales, dilayangkan kad merah kerana kelakuan ganas sekali gus memaksa Minnesota beraksi dengan 10 pemain selama hampir sejam.
Jefferson Diaz menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-62 untuk Minnesota.
Kemudian, Andrew Mackanich meletakkan Minnesota di hadapan 3-2 pada minit ke-71 disusuli gol ketiga Seattle pada masa tambahan oleh Jordan Morris.
Minnesota United kini mara ke peringkat separuh akhir dan akan bertemu pemenang perlawanan penentuan antara San Diego FC dan Portland Timbers. -REUTERS