KUALA LUMPUR, 8 November – Ratu boling padang negara, Emma Firyana Saroji menamatkan kempen Piala Dunia 2025 dengan cemerlang apabila menewaskan wakil England, Katherine Rednall dalam perlawanan akhir perseorangan wanita di Stadium Juara, Bukit Kiara.
Kemenangan itu bukan sahaja menebus kekalahan kepada lawan sama di peringkat kumpulan, malah memberikan pingat emas pertama buat Malaysia, sekaligus menepati sasaran yang ditetapkan.
Pertarungan berlangsung sengit sejak awal, namun pengalaman dan ketenangan Emma di hujung permainan menjadi faktor penentu.
Emma Firyana Saroji/BERNAMA
"Pada akhirnya, saya kena tenangkan diri sebelum baling bola terakhir. Saya memang niat nak tamatkan permainan dengan tiga balingan sahaja, bukan empat. Saya beritahu jurulatih perkara sama, dan Alhamdulillah menjadi," katanya.
Bagi atlet berusia 39 tahun itu, kejayaan kali ini amat bermakna selepas melalui tempoh sukar apabila disingkirkan daripada skuad kebangsaan selama dua tahun akibat prestasi tidak menentu dan kecederaan.
"Kalau ikutkan ini kali ketiga saya wakili negara tahun ini selepas dua tahun dikeluarkan. Saya perlukan kemenangan ini, dan Alhamdulillah akhirnya saya berjaya," tambahnya.
Bekas tonggak utama skuad boling padang negara itu kini berazam mengekalkan momentum menuju Sukan Komanwel Glasgow 2026, sambil menyifatkan kemenangan di Bukit Kiara sebagai titik kebangkitan dalam kariernya.