MISANO, 8 November - Pelumba muda negara, Putera Adam Halim menamatkan musim perlumbaan Eropah dengan penuh bergaya apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori PRO dalam Kejuaraan Lamborghini Super Trofeo Europe 2025, selepas menjuarai dua perlumbaan terakhir di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, Itali.
Kejayaan itu menjadikan anak kelahiran Subang Jaya berusia 19 tahun itu pelumba Malaysia dan Asia pertama memenangi kategori paling kompetitif dalam siri Lamborghini di benua Eropah.
"Musim ini penuh cabaran dan pembelajaran. Saya mungkin pelumba paling muda di grid, tetapi saya belajar daripada setiap perlumbaan, setiap lap, dan setiap kesilapan. Gelaran ini untuk Malaysia, keluarga saya dan semua yang menyokong saya sejak awal," katanya.
Putera Adam Halim/Foto HQ SPORTS CENTER
Musim sulung bersama Vincenzo Sospiri Racing (VSR) menyaksikan Putera Adam mempamerkan ketenangan dan kematangan luar biasa, meskipun bersaing dengan pelumba berpengalaman seperti Enzo Geraci dan Josef Knopp dari Oregon Team, selain beberapa pemandu muda program pembangunan Lamborghini.
Beliau mengumpul 114 mata keseluruhan, hasil prestasi konsisten di setiap pusingan.
Meskipun terlibat dalam kemalangan pada pusingan pembukaan di Paul Ricard, Putera Adam bangkit cemerlang di pusingan kedua di Monza apabila bergandingan bersama Paul Levet untuk mencipta kemenangan pertama musim ini.
Momentum itu berterusan dengan podium di Spa-Francorchamps, sebelum mengukuhkan kedudukan kejuaraan menerusi kemenangan di Barcelona.
Di Misano, beliau menamatkan kedua-dua perlumbaan dari petak keempat ke tangga teratas sekali gus memastikan mahkota juara keseluruhan menjadi miliknya.
Kemenangan itu turut melengkapkan kejayaan berganda apabila Vincenzo Sospiri Racing turut meraih Kejuaraan Pasukan 2025.