fb fb fb fb fb

Bekas jaguh boling padang disenarai dalam Dewan Kemasyhuran World Bowls 2025

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 November - Bekas jaguh boling padang negara, Siti Zalina Ahmad, tidak menyangka sama sekali akan menjadi wakil pertama dari Malaysia dan Asia yang disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran World Bowls 2025.

Siti Zalina berasa terharu dan bersyukur apabila sumbangannya dalam arena boling padang selama lebih dua dekad, sebelum bersara daripada mewakili negara pada tahun 2023 mendapat pengiktirafan tertinggi daripada World Bowls, badan induk sukan itu di peringkat antarabangsa.

“Saya dapat tahu pada pagi itu apabila saya menerima banyak mesej yang mengucapkan tahniah. Di pejabat, saya tengok mesej yang dihantar dan mereka sertakan pautan ke laman web Lawn Bowls.

"Saya terdiam sekejap sebab pengumuman itu dibuat di laman sosial mereka tanpa memaklumkan kepada saya secara langsung terlebih dahulu. Dua tiga hari selepas itu barulah pihak Lawn Bowls menghubungi dan memaklumkan secara rasmi," katanya kepada media pada majlis makan malam gala dan dewan kemasyhuran World Bowls di sini, hari ini.

Anugerah tersebut disampaikan Sultan Terengganu yang juga penaung diraja Bowls Malaysia Sultan Mizan Zainal Abidin.

Siti Zalina diiktiraf World Bowls susulan kejayaan antara lain merangkul emas acara singles wanita pada dua edisi Sukan Komanwel berturut-turut pada Manchester 2002 dan Melbourne 2006, selain gangsa singles wanita pada Kejohanan Dunia 2008.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN