(FOTO IHSAN FIFA)
DOHA, 2 Disember- Jepun membuktikan mereka mempunyai "keberanian" untuk bersaing di Piala Dunia, kata pertahanan Yuto Nagatomo pada Khamis, selepas Samurai Biru mengejutkan Sepanyol untuk mara ke pusingan 16 terakhir.
Jepun mengecewakan Jerman dan Sepanyol untuk menduduki tempat teratas Kumpulan E, dengan meraih tiga mata selepas mencatat kemenangan 2-1 malam tadi.
Pasukan Hajime Moriyasu kini akan menentang Croatia dalam pusingan 16 terakhir dan Nagatomo percaya mereka boleh melakukan satu lagi kejutan menentang finalis Piala Dunia 2018 itu.
"Tiada sesiapa di dunia percaya bahawa Jepun akan menduduki tempat teratas kumpulan," kata Nagatomo.
"Tetapi kami percaya, kami boleh melakukannya dan kami terjemahkan dalam perlawanan ini. Kami menunjukkan kepada dunia bagaimana rupa keberanian Jepun."
Nagatomo berkata permainan berjalan mengikut perancangan walaupun Sepanyol menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-11 menerusi Alvaro Morata.
Samurai Biru bangkit selepas rehat dan dua gol daripada Ritsu Doan dan Ao Tanaka melengkapkan kemenangan mutlak Jepun.
Moriyasu mendapat kritikan hebat selepas Jepun tewas 0-1 kepada Costa Rica dalam perlawanan kedua mereka tetapi Nagatomo berkata jurulatih itu tetap dengan taktiknya menentang Sepanyol .
"Pengurus tetap dengan pendiriannya pemain juga harus begitu," kata Nagatomo.
Permainan ini mengikuti corak yang sama seperti kemenangan Jepun 2-1 ke atas Jerman, dengan dua gol pada separuh masa kedua mengubah corak permainan.
Pemain pertahanan Shogo Taniguchi, yang membuat penampilan pertama kejohanan itu, berkata "suasana berubah" apabila gol Doan masuk.
“Ia berubah untuk kami dan ia berubah untuk seluruh stadium,” katanya.
"Perasaan yang sama seperti yang dialami dalam perlawanan menentang Jerman dan kami rasa kami boleh teruskan dan melakukannya."
Nagatomo bermain bersama Marcelo Brozovic, Mateo Kovacic dan Ivan Perisic di Inter Milan tetapi dia percaya Jepun boleh mengatasi kualiti oenaib-pemain Croatia itu.
“Mereka pemain bertaraf dunia dan mereka juga ada Modric,” katanya.
"Mereka adalah pasukan yang mempunyai begitu ramai pemain berbakat besar tetapi saya pasti percaya kami boleh melepasi mereka."
Nagatomo berkata dia "merasakan kekuatan bola sepak Jepun" dalam persembahan mereka menentang Sepanyol.
"Hakikat bahawa permainan berjalan mengikut perancangan dan kami mendapat kemenangan membuatkan saya rasa betapa besarnya bola sepak Jepun telah berkembang," katanya. -AFP
(FOTO IHSAN FIFA)