fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2022: Messi bawa Argentina ke suku akhir

(FOTO AFP)

AL RAYYAN, 4 Disember - Lionel Messi menjaringkan gol pada penampilan ke-1,000 dalam kariernya ketika Argentina menewaskan Australia 2-1 di pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2022 untuk mengatasi rekod Diego Maradona dan mengatur pertembungan suku akhir berdepan Belanda.

Memburu Piala Dunia pertama pada percubaan kali kelima, Messi melakukan rembatan leret untuk menewaskan penjaga gol Mat Ryan pada minit ke-35 untuk menggembirakan penyokong Argentina di Stadium Ahmad Bin Ali.

(Penyerang Argentina, Lionel Messi dan penyerang Australia, Garang Kuol berebut bola semasa
perlawanan bola sepak pusingan 16 Piala Dunia Qatar 2022 / FOTO AFP)

Julian Alvarez menyumbat gol kedua Argentina dari jarak dekat pada minit ke-57 selepas dia berjaya merampas bola di kaki Ryan.

Australia, yang berjaya mara ke peringkat 16 terakhir dan berada 35 anak tangga di belakang pemenang dua kali Piala Dunia itu bertahan dengan baik yang diketuai Harry Souttar.

Mereka mencemaskan lawan apabila rembatan Craig Goodwin terkena Enzo Fernandez sebelum menerjah ke gawang sendiri pada minit ke-77.

Jaringan Messi yang kini berusia 35 tahun adalah gol ketiganya dalam kejohanan di Qatar dan gol kesembilannya di Piala Dunia, satu gol mengatasi Maradona. - REUTERS

Media Baharu