fb fb fb fb fb

Piala Dunia 2022: Belanda pasukan pertama ke suku akhir

(FOTO AFP)

DOHA, 4 Disember - Belanda menjadi negara pertama ke suku akhir Piala Dunia 2022 apabila menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-1 di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Ledakan pada minit ke-10 oleh Memphis Depay dan satu gol lagi daripada Daley Blind pada penghujung babak pertama membuka jalan kepada Belanda untuk menempah pertembungan sama ada dengan Argentina atau Australia di pusingan lapan terakhir.

(Pemain pertahanan Belanda, Denzel Dumfries meraikan kejayaan menjaringkan gol ketiga
pasukannya antara Belanda dan Amerika Syarikat / FOTO AFP)

Pemain gantian, Haji Wright merapatkan jurang buat Amerika Syarikat pada minit ke-76 untuk memberi harapan kepada pasukannya, namun gol menerusi sepakan voli Denzel Dumfries mengesahkan penampilan ketujuh Belanda di suku akhir.

Skuad Belanda kendalian Louis van Gaal mendahului dengan serangan pertama mereka apabila hantaran Dumfries membantu penyerang Barcelona, Depay meledak gol pembukaan.

Dumfries kemudian melakukan umpanan untuk Blind menjadikan kedudukan 2-0 dan meletakkan pasukannya dalam perjalanan ke pusingan seterusnya.

Wright menyempurnakan hantaran silang Christian Pulisic, namun Dumfries meneruskan persembahan cemerlangnya dengan meledak gol ketiga Belanda dan menghabiskan sisa perjuangan pasukan AS.-REUTERS

Media Baharu