SHAH ALAM, 8 November - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menzahirkan penghargaan terhadap semangat juang tinggi pasukan Bola Sepak Amputasi Kebangsaan yang disifatkannya sebagai inspirasi kepada rakyat Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas hadir memberikan semangat kepada pasukan itu yang sedang menjalani latihan berpusat di EV Arena, Elmina, sebagai persediaan akhir sebelum berangkat ke Jakarta, Indonesia, bagi menghadapi World Cup Qualifier Zon Asia 2025.
Pasukan itu dibarisi 15 pemain dan lima pegawai berusia antara 17 hingga 43 tahun, dengan bimbingan doktor pasukan Dr. Munawwar dalam usaha memantapkan strategi serta kekuatan fizikal menjelang kejohanan berprestij itu.
“Kerajaan MADANI sentiasa prihatin terhadap semua atlet termasuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU). Semangat mereka membuktikan bahawa kekurangan bukan halangan untuk mengharumkan nama Malaysia. Selagi wisel belum ditiup, perjuangan masih hidup,” katanya.
Hannah turut menyatakan keyakinan bahawa semangat dan ketabahan pemain skuad amputasi negara akan menjadi dorongan kepada rakyat Malaysia untuk terus menyokong atlet para di pentas antarabangsa.
Pasukan bola sepak amputasi kebangsaan dijadual menentang beberapa wakil terbaik rantau Asia dalam usaha merebut slot ke Piala Dunia Bola Sepak Amputasi 2026 bermula 8 hingga 15 November ini.