PORTIMAO, 8 November – Pelumba Sepanyol, Alex Marquez mencatat masa terpantas dalam sesi latihan kelayakan Grand Prix Portugal pada Jumaat, meskipun sesi berkenaan terganggu akibat hujan renyai.
Menaiki jentera Ducati-Gresini, Marquez menamatkan sesi dengan kelebihan 0.030 saat mengatasi bekas juara dunia dua kali dari Itali, Francesco Bagnaia yang turut menunggang jentera Ducati.
Pelumba muda, Pedro Acosta dari pasukan KTM mencatat masa ketiga terpantas, manakala Marco Bezzecchi yang kini bersama Aprilia menamatkan sesi di tempat keempat.
Dalam saingan kejuaraan pelumba dunia, hanya lima mata memisahkan Bezzecchi di kedudukan ketiga daripada rakan senegaranya Bagnaia di tangga keempat, dengan 37 mata maksimum masih dipertaruhkan pada baki dua perlumbaan musim ini.
Acosta pula masih berpeluang menamatkan musim di podium keseluruhan, namun ketinggalan 31 mata daripada kelompok tiga teratas.
Sementara itu pelumba Sepanyol, Marc Marquez yang sudah pun mengesahkan gelaran juara dunia dalam kategori utama, serta juara dunia 2024, Jorge Martín dari Aprilia tidak menyertai pusingan kali ini akibat kecederaan dan urusan pasukan. -AFP