fb fb fb fb fb

Camp Nou kembali dibuka, penyokong Barca teruja saksikan sesi latihan pertama

Pemandangan umum pemain dan penyokong FC Barcelona semasa sesi latihan selepas pembukaan semula Stadium Camp Nou/ REUTERS

BARCELONA, 8 November – Stadium legenda Camp Nou kembali meriah apabila kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona mengadakan sesi latihan terbuka pada Jumaat, menjelang perlawanan pertama mereka di venue ikonik itu selepas lebih setahun menjalani pengubahsuaian besar-besaran.

Lebih 20,000 penyokong hadir ke stadium berkenaan bagi menyaksikan latihan tersebut yang turut berfungsi sebagai acara ujian keselamatan dan operasi menjelang pembukaan rasmi semula gelanggang keramat itu.

Bagi penyokong muda berusia 21 tahun, Artur Alzamora, peluang kembali ke Camp Nou memberi makna istimewa selepas tempoh bermain di venue sementara di Montjuic.

“Sungguh menakjubkan untuk kembali ke sini. Montjuic bukan rumah sebenar kami, ini tempat kami,” katanya penuh emosi.

Presiden kelab, Joan Laporta ketika berucap kepada media menyifatkan projek pengubahsuaian Camp Nou sebagai 'projek paling penting dalam sejarah kelab'.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan perlawanan pertama di stadium itu dapat diadakan pada akhir November, namun ia masih bergantung kepada kelulusan akhir pihak berkuasa.

Walaupun beberapa bahagian masih belum siap sepenuhnya dan kren pembinaan masih kelihatan di sekitar stadium, kemudahan baharu Camp Nou kini menawarkan kapasiti penonton lebih besar serta kemudahan moden.

Kelab itu dijangka memperoleh dua lesen baharu menjelang akhir tahun yang akan membolehkan kapasiti penonton meningkat kepada 45,000 orang dengan pembukaan keseluruhan dua tingkat bawah stadium selepas itu.

Kerja pengubahsuaian penuh dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027, dengan kapasiti mencecah 105,000 penonton, menjadikan Camp Nou antara stadium terbesar dan paling moden di dunia bola sepak. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN