fb fb fb fb fb

Boling Padang Dunia 2025: Dua wakil negara mara ke suku akhir

Pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple /RTM

KUALA LUMPUR, 7 November - Dua pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple dan Muhammad Soufi Rusli, meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke suku akhir acara singles lelaki pada Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Izzat menampilkan prestasi konsisten apabila menewaskan wakil India, Putul Sonowal 2-0 dengan keputusan set 11-2, 7-0, sebelum melakar satu lagi kemenangan bergaya ke atas pemain Ireland, Ryan Mcelroy, 8-3, 13-4.

Kemenangan itu membolehkan beliau muncul juara Kumpulan 4 menerusi empat kemenangan daripada lima perlawanan.

Sementara itu, Muhammad Soufi turut melangkah ke peringkat suku akhir selepas menewaskan wakil Ireland, Adam Mckeown 2-0 dengan keputusan 6-6 (seri) dan 4-3 pada aksi terakhir kumpulan, sekali gus menamatkan saingan di tempat kedua kumpulan dengan tiga kemenangan.

“Untuk kami lelaki sasaran kami belum tercapai lagi sebab esok suku akhir masih lagi tidak ada pingat.

"Sekurang-kurangnya, kami cuma untuk dapatkan pingat. untuk ke separuh akhir esok kami akan cuba yang terbaiklah ” kata Izzat yang ditemui selepas perlawanan di sini.

Dalam pada itu, cabaran negara dalam acara pairs wanita berakhir apabila gandingan Emma Firyana Saroji–Nurul Alyani Jamil menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kelima selepas sekadar mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD