KUALA LUMPUR, 7 Nov - Malaysia mempamerkan aksi memberangsangkan apabila meraih dua pingat perak dan satu gangsa dalam acara precision shooting pada Kejohanan Petanque Asia 2025 di Arena Petanque Kuala Lumpur, Pudu Ulu, Cheras hari ini.
Nur Iman Aina Ahmad Sabti dan Muhd Harith Muhaimin Hafaizul masing-masing menghadiahkan pingat perak dalam kategori wanita dan remaja, manakala atlet berpengalaman Muhd Nuzul Azwan Ahmad Temizi menambah satu pingat gangsa dalam kategori lelaki.
Dalam kategori wanita, Nur Iman Aina menewaskan wakil Vietnam Thach Thi Anh Lan 30-18 pada aksi separuh akhir sebelum tewas 27-22 kepada wakil Indonesia Anni Saputri pada perlawanan akhir yang berlangsung sengit.
Ia menjadi detik penuh emosi bagi Nur Iman Aina yang bertanding dalam acara precision shooting buat pertama kali selepas beberapa tahun cemerlang dalam acara triples.
“Ini kali pertama saya layak ke perlawanan akhir bagi acara precision shooting, jadi agak sukar untuk menahan air mata. Lawan saya sangat hebat, malah dia menewaskan pemain Thailand (juara dunia) sebelum ini tetapi saya telah berikan yang terbaik.
“Sebelum ini, saya hanya bertanding dalam acara triples, jadi apabila diberi kepercayaan untuk menyertai acara precision shooting, ia satu tanggungjawab besar dan saya tidak sangka dapat mara ke final. Pingat perak ini amat bermakna bagi saya. Ketika temasya Sukan SEA semakin hampir, saya pasti akan berusaha lebih kuat untuk memburu emas di sana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, dalam kategori remaja, Harith, 15, yang juga pelajar SMK Muadzam Shah di Pahang menewaskan wakil Jepun Koiwa Toshihiro 20-16 pada separuh akhir sebelum tewas 29-26 kepada wakil Kemboja Nun Ravin pada perlawanan akhir.
“Prestasi saya hari ini sedikit menurun berbanding semalam tetapi saya memang mahukan pingat emas itu dan telah berikan yang terbaik.
“Namun, ini adalah pencapaian terbaik saya setakat ini di pentas antarabangsa dan ia memberi motivasi untuk saya melangkah lebih jauh,” katanya.
Dalam pada itu, bagi kategori lelaki, Nuzul Azwan, 37, mempamerkan semangat juang tinggi sebelum tewas 27-19 kepada pemain Taiwan Wu Kun-yu, yang kemudiannya tewas 44-30 kepada wakil Thailand Khamdee Ratchata pada perlawanan akhir.
Pemain yang menamatkan saingan dalam kelompok lapan terbaik pada Kejohanan Petanque Dunia di Dijon, Perancis tahun lepas itu berkata perlawanan separuh akhir itu menjadi persiapan berguna menjelang penampilan kelapannya pada temasya Sukan SEA bulan depan.
“Sejak sesi latihan lagi saya dapat rasakan tumpuan saya sedikit terganggu dan ia terbawa-bawa ke dalam perlawanan. Dari segi teknikal, semuanya baik tetapi secara mental saya perlu lebih kuat ketika berdepan detik-detik genting,” katanya. - BERNAMA