PUTRAJAYA, 7 November - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa dana berjumlah RM15 juta yang diberikan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah khusus bagi kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Dana berkenaan tidak boleh digunakan bagi tujuan lain, termasuk pembayaran denda.
Menterinya, Hannah Yeoh, berkata dana berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu persiapan skuad Harimau Malaya menghadapi kempen kelayakan tersebut.
“Peruntukan RM15 juta itu adalah khusus untuk kempen Piala Asia. Ia tidak boleh digunakan untuk membayar denda atau tujuan lain,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa penggunaan dana berkenaan dipantau secara teliti oleh Majlis Sukan Negara (MSN), KBS, serta Kementerian Kewangan bagi memastikan ketelusan dan pematuhan terhadap tujuan asal peruntukan.
“Dana itu dipantau. Ia disalurkan kepada FAM dan laporan perbelanjaan dihantar kepada Majlis Sukan Negara. Pemantauan juga dibuat oleh KBS dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Penjelasan itu dibuat selepas timbul tanda tanya awam mengenai sumber kewangan FAM, susulan badan induk bola sepak negara itu dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan dokumen.
FAM bagaimanpun berhasrat untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas FIFA menolak rayuan tersebut.
Hannah menegaskan bahawa kos rayuan itu tidak akan menggunakan dana RM15 juta berkenaan.
“Saya difahamkan kos untuk rayuan akan ditanggung oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Ia bukan daripada peruntukan kerajaan,” jelasnya.