fb fb fb fb fb

Sabalenka mara ke final WTA Finals

Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka meraikan kemenangan selepas menewaskan Amanda Anisimova pada separuh akhir WTA Finals di Riyadh, Arab Saudi/ AFP

RIYADH, 8 November – Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka terpaksa berjuang habis-habisan sebelum menewaskan pilihan keempat, Amanda Anisimova, 6-3, 3-6, 6-3 pada perlawanan separuh akhir WTA Finals penuh sengit di Riyadh, malam tadi.

Pemain dari Belarus itu kini mara ke pentas akhir buat kali kedua dalam lima penampilan di kejohanan penutup musim tersebut, dan bakal berdepan Elena Rybakina dari Kazakhstan yang menundukkan pilihan kelima, Jessica Pegula 4-6, 6-4, 6-3 di Arena Tertutup Universiti Raja Saud.

Sabalenka mempamerkan aksi bertenaga dengan melakukan 12 ace dan menyelamatkan enam daripada sembilan mata break point, sekali gus menempah tempat ke final berprestij itu.

“Dia (Anisimova) sentiasa memaksa saya bermain pada tahap terbaik,” kata Sabalenka selepas tamat perlawanan.

“Saya tidak kisah sekiranya tewas, kerana kami bermain dengan cemerlang dan sama-sama layak berada di final. Saya gembira dengan kemenangan ini dan saya beritahu Amanda bahawa dia harus berbangga dengan musimnya yang luar biasa,” tambah juara empat kali Grand Slam itu.

Sabalenka dan Rybakina masih tidak tewas dalam empat perlawanan setakat minggu ini, dan pemenang pada aksi final Sabtu ini berpeluang membawa pulang ganjaran sebanyak AS$5.235 juta.

Rybakina yang memburu gelaran terbesar sejak kejuaraan Wimbledon 2022, mencatat kemenangan ke-10 berturut-turut selepas menundukkan Pegula untuk mara ke final buat kali pertama dalam tiga penampilan di WTA Finals.

“Saya datang ke sini tanpa jangkaan tinggi. Selepas musim di Asia, saya agak letih tetapi gembira dengan prestasi yang ditunjukkan,” kata Rybakina yang sebelum ini menjuarai kejohanan Ningbo dan mara ke separuh akhir Tokyo, sekali gus memastikan slot terakhir ke Riyadh.

Pertemuan antara Sabalenka dan Anisimova di Riyadh merupakan pertemuan keempat mereka musim ini selepas bertembung di Roland Garros, Wimbledon, dan Terbuka Amerika Syarikat.

Sabalenka memenangi set pertama selepas satu jam permainan, sebelum Anisimova bangkit di set kedua dengan dua break untuk mendahului 4-0. Namun, kelebihan itu tidak cukup untuk mengekang kebangkitan lawan yang kembali menguasai set penentuan.

Detik penentu hadir pada permainan ketujuh set terakhir apabila Sabalenka melakukan pukulan tepat untuk mematahkan servis Anisimova dan seterusnya memastikan kemenangan kelimanya dalam 11 pertemuan mereka.

Dengan prestasi cemerlang itu, Sabalenka kini berpeluang menamatkan musim 2025 dengan gelaran juara dunia wanita yang paling berprestij. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN