fb fb fb fb fb

Skuad eRimau layak ke pusingan akhir FIFAe World Cup

Skuad FAM eRimau terus mencipta sejarah baharu apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir FIFAe World Cup

KUALA LUMPUR, 8 November - Skuad FAM eRimau terus mencipta sejarah baharu apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir FIFAe World Cup Ft. eFootball Mobile dan FIFAe World Cup Ft. Rocket League 2025 yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, Disember ini.

Bagi kategori Rocket League, skuad negara dibarisi Thrishernn Raaj Pillai Prasad (Misty), Ang Kel Joe (Blue) dan Nik Aiman Hakim (Sphinx) di bawah kendalian jurulatih Richard Monico Juarez.

Ini sekali gus memastikan slot ke pusingan akhir selepas menewaskan Indonesia 4-1 dalam siri Best-of-7.

"Malaysia layak sebagai naib juara Asia Timur dan Oceania, bersama Australia (juara), sekali gus melengkapkan senarai 16 pasukan yang turut disertai Belgium, Brazil, Chile, England, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Norway, Maghribi, Oman, Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Arab Saudi selaku tuan rumah," menurut hantaran FAM menerusi Facebook hari ini.

Sementara itu, dalam kategori eFootball Mobile, skuad bimbingan Shaharil Shaifuddin Shaharuddin terdiri daripada Ahmad Muhaimin Abd Razak (Minbappe), Zikri Zulzariq Ikhmal Zulkarnain (Gege) dan Muhammad Hariz Norhadi (Derhaka) turut mara ke pusingan akhir buat kali kedua berturut-turut.

Malaysia menjadi antara empat wakil Asia Timur dan Oceania bersama Jepun, Thailand dan India yang akan bersaing dengan pasukan dari Greece, Turkiye, Mesir, Maghribi, Bahrain, Brazil, Colombia dan Arab Saudi.

Aksi FIFAe World Cup Ft. eFootball Mobile akan berlangsung dari 10 hingga 13 Disember depan.

Manakala FIFAe World Cup Ft. Rocket League dijadual bermula 15 hingga 19 Disember ini di SEF Arena, Riyadh.

Majlis undian rasmi akan diadakan pada Rabu, 12 November 2025 pukul 8 malam dan boleh ditonton secara langsung di fifa.gg serta saluran FIFAe di YouTube dan Twitch.

GRACE AISYAH KEDAYAN