PULAU PINANG, 8 November – Aksi sukan tempur bakal menggegarkan utara tanah air apabila Warrior’s Arena 2025 membuka gelanggang di Dewan Millenium, Kepala Batas hari ini.
Acara anjuran SecondBrain dengan kerjasama Persatuan Nadi Persahabatan Kepala Batas (NPKB), NSH One Solution serta rakan strategik seperti T-Fight dan Persatuan Muay Thai Malaysia.
Kejohanan ini menghimpunkan lebih 16 pertarungan Muay Thai profesional melibatkan penyertaan atlet tempatan dan antarabangsa bagi memeriahkan pentas sukan tempur terbesar di utara negara.
Tumpuan utama malam pertarungan terarah kepada Super Main Event antara Miki Ghazali (Malaysia) dan Yodkitti (Thailand) serta Main Event Bantamweight membabitkan Elias Ghazali (Sarawak) dan Sabri (Terengganu)
Penganjur utama, Ahmad Akhmal Mohd Noor, berkata Warrior’s Arena menjadi simbol semangat juang dan disiplin, sekali gus platform kebangkitan generasi baharu pejuang tempur Malaysia.
“Kami mahu jadikan acara ini bukan sekadar tontonan, tetapi pengalaman untuk peminat, atlet dan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Warrior’s Arena 2025 dijangka menarik kehadiran lebih 3,000 penonton di lokasi serta tontonan atas talian melalui siaran langsung berbayar di platform media sosial rasmi.