KUALA LUMPUR, 8 November – Penganjur Warzone World Championship (WWC) menghantar surat rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PPSM) bagi tujuan pendaftaran dan pematuhan sukan tempur mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
Langkah itu diambil bagi menjernihkan kekeliruan berhubung status penganjuran kejohanan seni tempur tersebut dan memastikan segala urusan dijalankan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Penganjur, Yusuf Azmi, berkata pihaknya turut mengadakan beberapa siri perbincangan dengan agensi keselamatan serta pihak berkaitan bagi memastikan kejohanan itu mematuhi semua garis panduan yang berkuat kuasa.
“Kami komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, termasuk sekiranya ada keperluan untuk audit atau semakan lanjut,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Sementara itu, Yusuf turut mengesahkan kategori Junior telah dikeluarkan dari menyertai pertandingan sukan tempur itu.
Katanya ia selaras dengan pekeliling baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang tidak membenarkan atlet bawah 15 tahun menyertai pertandingan itu.
“WWC menolak sebarang bentuk eksploitasi atau pendedahan berlebihan terhadap kanak-kanak dalam aktiviti berisiko,” katanya.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memberi amaran bahawa semua penganjur acara sukan tempur dilarang melibatkan atlet bawah umur 15 tahun dalam acara sentuhan penuh tanpa pelindung keselamatan.
Hannah menjelaskan bahawa atlet berusia bawah 15 tahun hanya dibenarkan menyertai sukan tempur seperti MMA, Muay Thai, kickboxing dan tinju sekiranya pertandingan tersebut dianjurkan oleh persatuan sukan kebangsaan atau negeri yang berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997.