fb fb fb fb fb

Piala Asia: Sasaran rasmi selepas pengumuman pemain - FAM

(FOTO RTM)

PETALING JAYA, 3 Julai-Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengumumkan sasaran rasmi Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan, sebaik mengesahkan barisan akhir skuad Harimau Malaya menjelang kejohanan tersebut.

Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman mengakui sebelum ini terdapat percangahan sasaran antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan ketua jurulatih Kim Pan Gon.

“Sudah pasti setiap jurulatih mahukan yang terbaik dengan letak sasaran tinggi namun kami akan ulas sasaran selepas pengumuman pemain nanti,” katanya pada sidang media selepas Kongres FAM kali ke-59 di sini, semalam.

Datuk Hamidin sebelum ini mahu melihat skuad negara sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam Piala Asia, manakala Pan Gon meletak sasaran mara ke pusingan 16 terbaik.

Malaysia, yang bakal membuat penampilan pertama dalam Piala Asia sejak edisi 2007, diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Korea Selatan, Jordan dan Bahrain di Qatar.

Johan dan naib johan kumpulan, termasuk empat pasukan terbaik di tempat ketiga layak ke peringkat kalah mati.

Pasukan negara tidak pernah melepasi peringkat kumpulan dalam ketiga-tiga penampilan di Piala Asia, iaitu di Iran pada 1976, Kuwait (1980) dan ketika menjadi penganjur bersama pada 2007.


(Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman)

Media Baharu