AL RAYYAN, 31 Januari - Korea Selatan mara ke suku akhir kejohanan selepas menumpaskan Arab Saudi 4-2 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon-Woo menjadi wira apabila berjaya menafikan dua sepakan penalti Arab Saudi.
" Saya mempunyai keyakinan bahawa saya dapat melakukan penyelamatan buat pasukan.
"Saya gembira kerana dapat membawa pasukan mara ke pusingan seterusnya", kata Jo kepada pemberita.
Pada perlawanan tersebut, Arab Saudi terlebih dahulu menguji barisan pertahanan Korea Selatan apabila dua tandukan yang dilakukan pemain Arab Saudi terkena palang sebelum dinafikan oleh penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon-Woo.
Menjelang penghujung separuh masa pertama, Korea Selatan mendapat peluang keemasan apabila rembatan penyerang sensasinya, Son Heung-min Heung-min berjaya didakap kemas oleh penjaga gol Arab Saudi.
Memasuki babak kedua, Pengendali Arab Saudi, Roberto Mancini memasukkan penyerang muda berusia 22 tahun, Abdullah Radif bagi menguatkan jentera serangan.
Kemasukan Abdullah Radif mengubah rentak permainan dan berjaya membuka jaringan buat 'The Green' pada minit ke-46.
Gol berkenaan menyebabkan skuad Arab Saudi semakin bersemangat memburu jaringan kedua sekali gus menyukarkan pertahanan Korea Selatan yang dilihat terpaksa bertahan susulan serangan berbahaya oleh Arab Saudi.
Korea Selatan akhirnya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Cho Gue-Sung pada minit-minit akhir permainan. Gol tersebut mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas masing-masing kebuntuan mencari jaringan kemenangan.
Sementara itu, pengendali Arab Saudi, Roberto Mancini memohon maaf kepada para penyokong pasukan berkenaan susulan kegagalan mara ke suku akhir.
" Saya memohon maaf atas kegagalan berkenaan",kata Mancini.
"Saya sangat sedih selepas melihat pasukan melepaskan gol pada minit akhir permainan dan tewas pada penentuan penalti.
"Saya tidak faham mengapa tambahan masa yang diberikan ditambah kepada 10 minit.
"Secara jujurnya, pasukan perlu bekerja keras meningkatkan prestasi pada masa akan datang", tambah Mancini.-REUTERS