KUALA LUMPUR, 31 Januari - Penyertaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang pada Kejohanan Piala Negara-Negara di Adelaide, Australia yang bermula Jumaat ini akan dipantau.
Ia berikutan keadaan jantungnya yang belum stabil.
Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley memaklumkan, pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu ketika ini perlu mengambil ubat sejak beberapa minggu lalu.
Menurut Beasley, jantung Azizulhasni mengalami keradangan perikardium.
Ia berisiko menghalang jantung daripada berdegup dengan betul atau menekan pembuluh jantung secara fizikal.
Tambah Beasley, tahap keadaan dihadapi Azizulhasni tidak serius, namun ia harus dipantau.
Jaguh pecut dan Keirin itu pernah menjalani pembedahan jantung terbuka pada 2022 selepas disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui.
Dia menghabiskan sebahagian besar tahun tersebut menjalani rawatan pemulihan.
Datuk Azizul kembali beraksi semula tahun lalu dengan memenangi emas berganda di Kejohanan Asia di Nilai pada Jun.