KUALA LUMPUR, 31 Januari - Skuad hoki lelaki lima (5s) sebelah negara mencipta sensasi selepas melakar sejarah melangkah ke pentas final edisi pertama di Muscat, Oman.
Kejayaan dilakar selepas menewaskan Poland 4-3 pada aksi separuh akhir yang berlangsung awal pagi tadi.
Malaysia akan bertemu Belanda tengah malam nanti untuk penentuan juara.
Empat gol yang membawa Malaysia ke pentas final hasil dua jaringan daripada Kapten Pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook.
Ia diikuti satu gol menerusi Muhammad Arif Syafie Ishak dan Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin.
Bagi ketua jurulatih, Wallace Tan, semangat juang tinggi dan tidak berputus asa yang ditunjuk anak buahnya membuahkan hasil yang positif.
"Ini merupakan satu semangat juang yang cukup baik daripada pemain negara" kata Wallace yang ditemu pemberita selepas perlawanan di sini.
Sementara itu, ketua pasukan, Akhimullah, dia menyifatkan pengorbanan yang dilakukan pasukannya bagi menghadapi kejohanan ini amat berbaloi dan kini mereka hanya selangkah lagi untuk mencipta sejarah.
"Kami berkorban banyak benda.
"Bermula dengan keputusan seri menentang Oman pada perlawanan pertama. Selepas itu, kami menang dan moral para pemain sangat tinggi.
"Kami masih ada satu perlawanan lagi dan perlu fokus pada perlawanan terakhir bagi membolehkan kami mencipta sejarah.