fb fb fb fb fb

Piala Asia 2025: Malaysian Tigress belasah Taiwan 8-0

FOTO FB Malaysian Hockey Federation

KUALA LUMPUR, 13 September - Skuad hoki kebangsaan berpesta gol membelasah Taiwan 8-0 pada perlawanan ketiga Piala Asia Wanita 2025 di Hangzhou, China.

Keputusan itu menyaksikan Malaysian Tigress mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan peringkat kelayakan tempat kelima hingga kelapan kejohanan.

Dalam aksi berkenaan, skuad kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mempamerkan persembahan cemerlang merobek gawang lawan dengan lapan jaringan dalam tempoh 30 minit pertama.

Siti Nur Arfah Mohd Nor membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi gol padang, diikuti jaringan sudut penalti Nur Afiqah Syahzani Azhar seminit berselang.

Dua gol diledak Nuramirah Shakirah Zulkifli minit ke-10 dan ke-16, sebelum Siti Nur Arfah menggandakan jaringan peribadi.

Seakan tidak puas mendominasi permainan, giliran Nur Aisyah Che Musa dan Hanis Nadiah Onn pula menambah jaringan skuad negara.

Jaringan kelapan negara disempurnakan Nur Afiqah yang melengkapkan kemenangan buat Malaysia.

Selepas ini, Malaysia dijadual bertemu antara Thailand atau Singapura pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam, esok.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN