fb fb fb fb fb

Grimaldo ledak dua gol, leverkusen raih kemenangan pertama Bundesliga

Alex Grimaldo meraikan kejayaannya menjaringkan gol buat / REUTERS

LEVERKUSEN, 13 September - Bayer Leverkusen yang beraksi dengan sembilan pemain mencatat kemenangan pertama Bundesliga musim ini selepas menundukkan Eintracht Frankfurt 3-1 pada Jumaat, hasil dua jaringan menakjubkan Alex Grimaldo sekali gus melengkapkan debut cemerlang jurulatih baharu, Kasper Hjulmand.

Hjulmand mengambil alih pasukan minggu ini selepas pemecatan Erik ten Hag berikutan permulaan hambar tanpa kemenangan dalam dua perlawanan awal liga.

Leverkusen tampil lebih bertenaga bawah kendalian jurulatih dari Denmark itu, mendominasi separuh masa pertama dan mendahului menerusi sepakan percuma jarak jauh Grimaldo. Patrik Schick kemudian menambah gol kedua melalui penalti masa kecederaan.

Frankfurt, yang memulakan musim dengan dua kemenangan, merapatkan jurang menerusi voli Can Uzun sejurus babak kedua bermula. Namun, tuan rumah terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas kapten Robert Andrich dan Ezequiel Fernandez dilayangkan kad merah.

Di sebalik tekanan itu, Grimaldo sekali lagi menjadi wira apabila menyempurnakan sepakan percuma kedua pada masa kecederaan, menamatkan larian tanpa kalah lapan perlawanan Frankfurt sejak musim lalu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE